Menerusi catatan ringkas di Insta Story (IG) miliknya, Juliana berkongsi berita gembira tersebut kepada semua pengikutnya pagi tadi. 

“Alhamdulillah, saya kini bergelar seorang ibu (i am mother),” katanya ringkas. 

Dalam perkongsian sama, pelakon yang popular dengan filem Hantu Bonceng dan Mael Lambong itu turut berkongsi imej dirinya yang sedang tersenyum sambil memandang anaknya yang sedang nyenyak tidur.

Bagaimanapun, wajah bayinya itu tidak terlalu ketara dan tidak ditunjukkan sepenuhnya selain enggan menyatakan jantina anaknya itu.

Juliana atau nama sebenarnya Che Puan Juliana Sophie Johari Evans 30, mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffudin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj pada April 2017.

Juliana sebelum ini dinasihatkan dan mengambil pendirian untuk tidak mengumumkan dia sedang berbadan dua di peringkat awal kehamilannya. - K! ONLINE