Menjadi idaman ramai wanita impak cemerlang karakter hero Jon Snow yang berhati mulia, Kit dalam satu wawancara bersama majalah Variety edisi Amerika Syarikat mendedahkan, bukan mudah untuknya meninggalkan set penggambaran GoT yang akan ditamatkan sepenuhnya selepas siaran musim kelapan dalam saluran HBO.

Kata pemilik nama lengkap Christopher Catesby Harington itu, jiwa Jon Snow masih terperangkap dalam dirinya walaupun GoT kini dalam fasa untuk menggulung naratifnya selepas diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2011.

“Sebahagian besar usia 20-an saya mengabdikan fizikal untuk watak Jon Snow. Orang kenal saya dengan sosok hero itu yang memberi impak besar dalam kerjaya saya sebagai seorang artis.

“Perkahwinan dengan Rose Leslie, dia juga pelakon GoT. Ketika dia menjadi isteri saya, saya tetap dengan penampilan sama sebagai Jon Snow.

“Saya mahu menjadi orang baharu namun masih terperangkap dalam bentuk Jon Snow. Hari terakhir penggambaran, ketika saya tanggalkan kostum Jon Snow, rasanya seperti kulit saya disiat-siat. Rasa macam seseorang sedang menumpahkan sesuatu terhadap saya,” kongsi Kit, 32.

Jon Snow sudah menjadi sebahagian daripada identiti Kit yang sukar ditinggalkan sehinggakan dalam kehidupan sebenar. Dia terbawa-bawa emosi dan penampilan watak ikonik tersebut.

“Tidak boleh saya ungkap. Saya tertanya-tanya juga adakah rambut saya kembali dengan gaya rambut seperti biasa.

“Hal ini kerana setiap kali masuk kembali ke set penggambaran GoT, saya dikehendaki muncul dengan karakter Jon Snow iaitu wajah dan gaya rambut yang sama,” terang Kit berseloroh.

Memegang tanggungjawab sebagai Jon Snow dalam GoT sebenarnya memberi beberapa tekanan dalam kerjaya seni Kit. Pertama, dia belajar untuk menjalani kehidupan dengan harapan menggunung peminat dan pada masa yang sama mengingkari harapan tersebut.

Impak Jon Snow

“Saya tidak mahu dilihat sebagai seorang pelakon yang terlalu asyik membawa watak hero.

“Setiap skrip yang saya baca adalah tentang karakter yang ‘bermasalah’ atau dalam erti kata lain, antihero.

“Dengan pengalaman berperang menentang kebaikan dan kejahatan dalam GoT, saya tahu bagaimana untuk berlawan menegakkan kebenaran,” ujar alumni Royal Central School of Speech and Drama itu dengan optimis.

Terlibat dalam antara siri televisyen paling ramai penonton di dunia, Kit juga menjadi antara yang pertama menyumbang rekod jumlah penonton GoT.

Untuk rekod, episod pertama GoT8 minggu lalu mencatat jumlah penonton tertinggi saluran HBO iaitu 17.4 juta orang.

Kit juga akan menonton setiap episod GoT secara berseorangan tanpa diganggu orang lain untuk memberi fokus.

“Menonton kembali GoT, akan ada 70 peratus babak yang tidak akan membuatkan saya gembira.

“Musim terakhir akan menjadi sangat berbeza. Saya tahu siapa lawan dan siapa kawan. Saya juga dapat merasakan penyudah siri ini akan membuatkan saya 100 peratus berpuas hati dengan watak Jon Snow,” katanya.

Jodoh dalam GoT

Bukan hanya membina nama menerusi GoT, Kit juga bertemu jodoh dalam karya tersebut. Dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan Rose Leslie sejak tahun 2012, pasangan selebriti itu bergelar suami isteri pada Jun tahun lalu dalam sebuah majlis perkahwinan romantik di Scotland.

Bermula sebagai kekasih dalam televisyen kepada pasangan suami isteri sebenar dalam kehidupan realiti, itu sebenarnya penangan besar GoT terhadap Kit.

Kit dan Rose mula menjalin hubungan cinta ketika wanita itu memainkan watak sebagai Ygritte.

Dalam satu temu bual pada tahun 2016, Kit mendedahkan, mereka jatuh cinta ketika menjalani penggambaran musim kedua di Iceland.

“Iceland sangat cantik dan di situ saya dan Rose jatuh cinta. Kalau anda memang sudah tertarik kepada seseorang dan kemudian berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama, memang tersangatlah mudah untuk jatuh cinta,” kata Kit.

Majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di Aberdeenshire, Scotland juga dihadiri rakan-rakan GoT seperti Peter Dinklage, Sophie Turner, Maisie Williams dan Emilia Clarke.

Biarpun hidup sebagai pasangan selebriti yang dilimpahi glamor, Kit dan Rose lebih selesa untuk tidak terlalu bercakap dan mendedahkan kisah peribadi mereka kepada umum.

menjadi fenomena luar biasa dalam kalangan peminat saentero dunia, GoT kini muncul dengan musim terakhir. Enam episod terakhir ditayangkan menerusi saluran HBO setiap Isnin pada pukul 9 pagi.