Nasha
NASHA

Terbaharu, lima kumpulan rock terkenal tanah air iaitu Febians, Scandals, May, Metalian dan Burnmarks akan berkongsi pentas membawa lagu-lagu nostalgia untuk diperdengarkan kepada khalayak.

Kesemua kumpulan yang mempunyai nostalgia tersendiri itu akan beradu tenaga di atas pentas membawa panji Juara-Juara Rock Selepas 3 Dekad (JJR-Selepas 3 Dekad) bertempat di The House G-Tower, Kuala Lumpur pada 8 April depan.

Menurut vokalis Febians, Nasha konsert mini, JJR–Selepas 3 Dekad merupakan platform terbaik kepada kelima-lima kumpulan tersebut menghiburkan peminat.

“Selepas hampir 30 tahun kemunculan album kompilasi Juara-Juara Rock (1987), peminat-peminat dapat kembali mendengar irama nostalgia secara langsung.

“Melalui JJR–Selepas 3 Dekad, kami kumpulkan kembali kesemua kumpulan ini di atas pentas yang sama. Tentunya kami akan menjanjikan satu persembahan yang hebat,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar JJR-Selepas 3 Dekad bertempat di The House G-Tower, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Nasabandi Jumat itu menjelaskan konsert mini berkenaan bakal menjadi medan pertemuan semula kumpulan-kumpulan ini selepas membawa haluan sendiri dalam kerjaya masing-masing.

Katanya, ia bukan sahaja akan mengembalikan nostalgia kepada para peminat tetapi kumpulan-kumpulan yang terlibat.

“Sebagai contoh, Febians mungkin akan memakai pakaian sewaktu sedang melonjak naik satu ketika dahulu pada malam persembahan kelak.

“Selain itu, kita juga akan mempersembahkan lagu-lagu popular seperti Untukmu Sayang dan Rumie Dan Julie,” katanya saraya melemparkan senyuman.

Ditanya sama ada usia akan menjadi kekangan pada malam persembahan kelak, dia menjelaskan walaupun kesemua mereka kebanyakan sudah melepasi umur 50-an tetapi ia tidak bermakna mereka tidak mampu memberikan persembahan terbaik kepada peminat.

“Setiap kumpulan akan mempersembahkan sekitar lima atau enam buah lagu dalam persembahan pada malam itu.

“Justeru, ia tidak menjadi masalah untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat malah masih mempunyai masa untuk mengadakan latihan.

“Selepas sekian lama saya rasa peminat yang selama ini rindu akan persembahan kami perlu hadir menyaksikan konsert mini ini kerana tidak tahu bila lagi kami akan bersatu,” katanya.