Menurut pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu, dia masih lagi aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan tetapi mengakui lebih banyak terlibat dalam undangan tertutup untuk majlis korporat sesebuah organisasi.

Ditemui ketika majlis sidang akhbar Konsert Sayangi Malaysiaku yang bakal berlangsung pada 14 hingga 17 September depan di KL Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, wanita berusia 34 tahun itu didekati untuk diintai perkembangan terkininya.

KOSMO!: Kongsikan sedikit tentang penglibatan Farahdhiya dalam Konsert Sayangi Malaysiaku?

FARADHIYA: Saya rasa gembira sebab sebelum ini banyak mendapat undangan untuk majlis korporat sahaja. Saya jarang dapat bersama dengan peminat, jadi konsert ini merupakan satu ruang saya bersama dengan orang ramai dan ia diadakan secara percuma.

Sesekali buat konsert seperti ini memang menyeronokkan kerana selalu peminat bertanya bila mahu adakan sesi bertemu peminat, jadi ini adalah platform untuk saya bertemu semula dengan mereka.

Banyak terlibat dengan undangan untuk majlis korporat, adakah ia disebabkan anda memang memilih untuk memenuhi undangan sebegitu sahaja?

Saya tidak pernah memilih. Sebenarnya ada juga undangan lain tetapi rezeki saya kebetulan memang lebih terhadap undangan untuk majlis korporat.

Berapa buah lagu yang akan dinyanyikan pada konsert berkenaan nanti?

Sama seperti penyanyi lain, saya akan mendendangkan sebanyak empat buah lagu. Bagaimanapun, saya belum memilih senarai lagu yang akan dibawakan tetapi mungkin akan memperdengarkan kepada peminat lagu baharu saya nanti.

Boleh kongsi lebih lanjut tentang lagu baharu tersebut?

Lagu ini belum dilancarkan lagi tetapi sudah menjalani proses rakaman pada bulan Ramadan lalu.

Ia berjudul Pujangga dan merupakan hasil ciptaan pendatang baharu yang ingin dikenali sebagai Bulan dan seorang lagi Bintang. Saya suka kerana lagu ini kerana ia sangat menangkap dan berkonsepkan pop mengikut perkembangan muzik sekarang.

Sebagai anak seni yang agak senior, mengapa anda memilih untuk menerima karya daripada komposer tidak dikenali?

Saya tidak kisah siapa mencipta lagu ini kerana yang penting adalah hasilnya. Semua yang mempunyai nama besar dalam industri juga bermula dari nama kecil. Jadi, saya tidak mahu ada pemikiran double standard tentang mereka.

Sebenarnya kita tidak tahu mungkin yang baharu itu sebenarnya lebih berbakat, jadi isu ini sebenarnya tidak patut timbul.

Bagaimana pula perkembangan anda dalam dunia lakonan?

Saya masih berlakon tetapi sekarang rezeki banyak ke arah nyanyian. Kali terakhir terlibat dalam penggambaran drama adalah pada dua bulan lalu bersama Tiz Zaqyah dan Aqasha. Ramai yang salah faham dan menyangka saya ingin fokus terhadap nyanyian, sebenarnya bukan begitu.

Saya melihat kesesuaian kerja mana datang dahulu tetapi dalam masa sama, saya tidak mahu tangkap muat dalam lakonan. Jadi, saya perlu memilih naskhah tepat sebelum terima tawaran yang datang.

Jadi, sebenarnya anda masih sibuk dengan aktiviti seni tetapi mengapa seperti berada jauh dan agak sepi daripada industri?

Saya akui ramai yang menyangka saya sudah menyepikan diri. Sebenarnya saya masih lagi berada dalam industri.

Kadangkala, apabila ada media yang memanggil untuk menghadiri sesi fotografi, saya menolak bukan kerana tidak mahu tetapi saya tidak mempunyai cerita menarik untuk dikongsi. Saya tidak suka mencipta publisiti murahan.

Alhamdulillah, saya masih bekerja dan memenuhi undangan untuk majlis korporat tetapi ia tidak masuk dalam televisyen.

Biarlah, saya lebih suka ambil pendekatan diam-diam berisi kerana sekarang bukan lagi fasa mencari populariti seperti budak-budak baharu.

Mengapa anda juga dilihat lebih gemar berkongsi gambar makanan berbanding diri sendiri dalam Instagram?

Saya bukan berumur 21 tahun dan hendak berswafoto untuk tunjuk pada orang sampai 10 keping gambar dalam satu hari, pada umur sekarang perubahan itu datang dengan sendiri. Tambahan pula saya memang suka memasak, jadi jika tidak sibuk memang itulah kerja saya di rumah.

Sejujurnya, saya tidak pernah membeli nasi lemak untuk sarapan atau nasi campur yang dijual di kedai-kedai kerana lauk-lauk tersebut boleh dimasak sendiri. Jika tiada sebarang halangan, mungkin pada tahun hadapan saya akan membuka sebuah restoran yang menawarkan cita rasa masakan mengikut gaya saya.