Biarpun kerap muncul di kaca televisyen dan telah menjayakan lebih 20 naskhah drama serta telefilem, namun, pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner itu tetap tidak keberatan untuk pergi ke sesi uji bakat.

Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama Syurga Nur itu, sesi uji bakat selalunya memberi pengalaman baharu buat pelakon, lebih-lebih lagi apabila mendapat sesi tertutup bersama penerbit dan pengarah.

“Tidak dinafikan, sesi uji bakat sangat penting. Menerusi sesi tersebut, penerbit dan pengarah dapat mengenali seseorang pelakon itu dengan lebih dekat.

“Bagaimanapun, jangan salah faham. Sesi uji bakat bukanlah untuk kita membuktikan bakat lakonan. Sebaliknya, penerbit dan pengarah mahu memastikan watak yang ditawarkan kepada pelakon itu bersesuaian atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) di Ibu Pejabat Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Janna, dia tetap menerima undangan untuk ke sesi uji bakat sebelum ditawarkan membintangi sesebuah naskhah drama atau filem.

Cuma, sejak dikenali ramai, dia tidak lagi perlu ke sesi uji bakat yang turut dihadiri oleh ramai orang dalam satu masa.

“Kini, saya hanya akan berjumpa dengan orang tertentu sahaja. Mereka akan menilai karakter saya sebelum menawarkan watak.

“Katakanlah saya tidak berjaya menerusi uji bakat tersebut, saya tidak akan berasa sedih dan kecewa. Hal ini kerana, mereka tidak memilih saya bukan disebabkan tiada bakat, tetapi kurang sesuai untuk watak yang ditawarkan,” katanya lagi.

Filem

Melihat pada portfolio seninya, kiblat seni Janna banyak tertumpu pada drama-drama untuk tayangan televisyen.

Sejak bergelar pelakon, Janna hanya berpeluang membintangi dua buah filem sahaja iaitu Kerja Kahwin pada tahun 2016 dan Kimchi Untuk Awak (2017).

Mengakui mahu terus mencipta nama sebagai bintang filem, Janna bagaimanapun terpaksa akur dengan jadual kerjayanya yang terlalu padat sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran daripada pihak penerbit.

“Saya ada menerima beberapa tawaran daripada penerbit filem. Namun, saya terpaksa menolak kerana berlakon filem memerlukan komitmen yang tinggi.

“Banyak masa harus diperuntukkan terutama jika naskhah tersebut memerlukan saya mengubah bentuk fizikal atau melalui pelbagai jenis latihan.

“Sebagai pelakon drama, jadual saya begitu sibuk. Jika menerima juga tawaran berlakon filem, mungkin saya tidak akan mempunyai masa untuk diri sendiri,” tutur Janna.

Bercerita lanjut, Janna memberitahu, tawaran berlakon filem yang ditolak baru-baru ini merupakan naskhah bergenre aksi.

“Genre aksi adalah kegemaran saya. Rasa terkilan juga apabila tidak dapat terlibat dalam filem aksi berkenaan.

“Tetapi, saya reda. Saya yakin dan insya-Allah, peluang seperti itu akan datang lagi,” ujar Janna dalam nada positif.

Ditanya pula berkenaan prestasinya sebagai pelakon selepas tujuh tahun bergelar anak seni, wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu hanya tersenyum.

Tutur Janna, walaupun prestasinya tidak melonjak naik pada kadar yang tinggi, tetapi, sekurang-kurangnya graf kerjayanya tidak berada dalam fasa mendatar.

“Alhamdulillah, sebagai pelakon baharu yang masih mentah dan hijau, saya lihat terdapat perkembangan pada kerjaya lakonan.

“Saya tidak perlukan jurang yang tinggi, memadai terdapat peningkatan,” katanya yang turut menzahirkan rasa syukur terhadap setiap rezeki yang dikurniakan.

Kontroversi

Sejak beberapa minggu lalu, nama Janna panas disebabkan isu perang dingin yang tercetus antaranya dengan penerbit dan pelakon Sheila Rusly.

Walaupun persengketaan antara mereka hangat diperkatakan namun, baik Sheila mahupun Janna masing-masing enggan memberitahu tentang punca utama perbalahan tersebut berlaku.

Ketika ditebak mengenai status terkini mereka, Janna berkata, dia mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.

“Saya pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini dan itu merupakan kenyataan terakhir daripada saya.

“Sejujurnya, saya enggan mengulas lanjut kerana bimbang perkara ini akan berlarutan,” ujarnya ringkas.

Sebagai pengacara rancangan Melodi, Janna boleh dikatakan beruntung kerana mempunyai platform yang besar untuk memperbetulkan keadaan jika dihimpit dengan sebarang kontroversi.

“Saya bersyukur kerana Melodi banyak mengajar saya untuk berdepan dengan kontroversi. Sebagai contoh, saya belajar cara-cara untuk menepis jawapan panas dan mengelak memberikan jawapan yang mampu memanjangkan lagi sesuatu isu.

“Dalam masa sama, pihak Melodi juga memberi ruang kepada saya jika terdapat keperluan untuk saya membuat kenyataan atau bercerita dengan lebih lanjut tentang isu yang dihadapi.

“Sejujurnya, saya berasa bersyukur kerana kru produksi Melodi begitu memahami dan sentiasa menjaga saya dengan baik,” terangnya.

Terlanjur berbicara mengenai Melodi, pelakon drama Leftenan Zana itu baru sahaja menyambung kontrak pengacaraannya bersama program tersebut.

“Sejak mengacarakan Melodi, saya berasa seronok. Walaupun baru setahun, tetapi saya dan rakan gandingan, Ajak Shiro sudah mula serasi.

“Cuma, jika diberi peluang, saya teringin untuk mencuba mengacarakan program yang lebih formal. Menerusi program formal, secara tidak langsung khalayak akan sedar tentang kemampuan saya untuk melakukan kerja-kerja serius,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Janna yang dilantik sebagai duta DFKL2019 bersama Izzue Islam bakal menemui peminat pada siri jelajah anugerah tersebut yang akan diadakan pada 16 dan 17 Mac ini di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya.