Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 1 April tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Ipoh, Perak.

Ketika hadir pada acara sidang akhbar Luncheon With The Stars sempena meraikan minggu setiausaha di Hotel Tenera, Bangi, Selangor, Selasa lalu, pelantun lagu Penghujung Rindu itu dengan terbuka membawa isterinya bersama.

Kata Jamal, perkahwinan tersebut merupakan anugerah terindah kurniaan Tuhan buatnya apabila dia diberi kesempatan mendirikan rumah tangga buat kali keempat pada usia 58 tahun.

Disebabkan itu, Jamal menaruh harapan agar perkahwinannya dengan wanita berusia 23 tahun berkenaan dijaga sebaik mungkin dan berkekalan hingga akhir hayat.

Sebelum ini, Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd. Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Selain Jamal dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Osama Yamani, 17, hasil perkahwinan dengan Noraina menakala Ahmad Zaki Yamani, 11, bersama Fatimatuzahrah.

KOSMO!: Apakah yang mendorong Jamal untuk membawa isteri bersama menemani pada acara hari ini (Selasa lalu) kerana ia tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 11 bulan kalian berkahwin. Mengapakah anda ‘menyembunyikan’ isteri sebelum ini?

JAMAL ABDILLAH: Sejujurnya saya tidak pernah menyembunyikan isteri kerana tiada apa ingin dirahsiakan. Tambahan, kami juga telah menjadi suami isteri yang sah. Pada pandangan saya, hari ini merupakan acara yang sesuai untuk membawanya bersama. Perkara itu kerana saya telah biasa membawanya menemani bagi menghadiri majlis sebelum ini.

Justeru, tidak salah membawanya mendampingi kerana saya berasa selesa sekiranya dia hadir bersama. Tambahan, dia merupakan individu paling dekat dengan saya sekarang.

Bolehkah kongsikan detik perkenalan kalian berdua sehingga membawa ke gerbang perkahwinan?

Pada awalnya kami saling tidak mengenali di antara satu sama lain dan segalanya bermula selepas diperkenalkan oleh seorang kenalan.

Terus terang, walaupun mempunyai ramai peminat wanita tetapi saya tidak tahu bagaimana ingin memikat mereka (seloroh).

Jadi, sepanjang tempoh sekitar dua bulan perkenalan, kami tidak saling berhubung antara satu sama lain melainkan hanya sekali berjumpa.

Dalam tempoh itu juga persiapan majlis dilakukan dan saya bersyukur kerana majlis berlangsung dengan lancar dan dipermudahkan.

Bagaimanakah kalian berdua menyesuaikan diri antara satu sama lain kerana jurang usia sebanyak 35 tahun?

Secara peribadi, sekitar tiga hingga empat bulan berkahwin tidak dinafikan ada perselisihan faham kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza memandangkan usia isteri sekitar 20-an manakala saya sudah 50-an.

Jadi, pastinya berlaku perbezaan pendapat dan personaliti. Namun, alhamdulillah setelah itu kami berusaha untuk saling memahami antara satu sama lain dan tidak dinafikan sehingga hari ini kami masih dalam proses menyesuaikan diri.

Apakah yang membuatkan anda tertarik hati untuk memperisterikan Zai Izzati. Adakah ia bermula dengan cinta pandang pertama?

Pada saya ini bukan cinta pandang pertama kerana kami saling tidak mengenali apatah lagi berjumpa. Pada saya ini semua ialah jodoh yang ditakdirkan.

Tuhan telah menentukan saya mendirikan rumah tangga sekali lagi pada usia 58 tahun bersama wanita 23 tahun.

Ia merupakan anugerah terindah ciptaan Tuhan dan insya-Allah saya akan menjaga dan menghargai perkahwinan ini sebaik mungkin dan mohon agar berkekalan hingga akhir hayat.

Beralih kepada acara Luncheon With The Stars sempena meraikan minggu setiausaha di Hotel Tenera, bolehkah anda kongsikan mengenai acara terbabit?

Apabila diberi peluang untuk mengadakan persembahan pada acara minggu setiausaha, saya pasti berasa teruja dan gembira. Acara tersebut bakal berlangsung pada 24 April depan dan saya akan tampil bersama penyanyi Dayang Nurfaizah.

Saya akan mempersembahkan lima buah lagu dan begitu juga dengan Dayang. Setiap persembahan yang dilakukan saya tidak terlalu menitikberatkan soal kelainan tetapi lebih memberi penekanan terhadap penghayatan agar penonton yang hadir berasa terhibur.