Pada telahan penyanyi berusia 25 tahun itu, muzik garapannya tidak bersifat semasa dan sukar untuk dikelaskan sebagai irama pilihan penggemar lagu-lagu popular arus perdana.

Namun, apa yang pernah singgah dalam kotak fikiran Isyana suatu ketika dahulu ternyata tidak tepat sama sekali. Single debutnya, Tetap Dalam Jiwa yang dipetik daripada album tersebut berjaya mencuri perhatian peminatnya di Malaysia.

Sewaktu menjayakan sebuah persembahan mini di ibu kota baru-baru ini, Isyana mengakui berasa sangat terkejut apabila peminat yang hadir turut menyanyikan lagu berkenaan bersama-samanya.

Senang

“Ketika lagu ini dipasarkan dua tahun lalu, saya tidak berpeluang untuk menjalankan promosi secara rasmi di sini. Jadi, sebelum persembahan bermula, saya jangka tidak ramai yang akan muncul.

“Namun, jangkaan saya meleset apabila kesemua yang hadir tahu menyanyikan lagu-lagu saya. Aduh, saya berasa sangat gembira,” luahnya jujur.

Menurut Isyana, dia masih kehilangan kata-kata kerana muzik tulisannya kini diminati peminat yang berada di luar Indonesia.

“Sewaktu dilamar oleh Sony Music Indonesia beberapa tahun lalu, saya pernah menyatakan hasrat untuk menulis karya sendiri. Saya juga bukan seperti penyanyi tipikal lain yang lagu-lagu dipasarkan mengikut permintaan pendengar.

“Ternyata, muzik jujur tulisan saya ini yang menjadi pilihan kebanyakan pendengar di Indonesia, Malaysia dan barangkali juga di Singapura. Saya benar-benar bersyukur dengan kurniaan Tuhan kepada saya,” katanya lagi.

Isyana juga berasa sangat senang dengan penerimaan peminat muzik tanah air dan merancang untuk terus kembali ke Malaysia pada masa akan datang.

“Saya menjadi sangat bersemangat untuk berkarya dan pastinya akan kembali ke Malaysia pada masa depan,” kata pemuja Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan SonaOne itu sambil tersenyum.

Melanjut bicara mencakupi usia mentahnya berbanding penyanyi-penyanyi prolifik Indonesia lain, Isyana berkata, tidak pernah timbul perasaan mahu bersaing sesama sendiri, apatah lagi menunjukkan kehebatan kepada anak seni yang lebih senior.

“Pada pendapat saya, tiada gunanya jika bersaing sesama sendiri. Ia suatu perkara yang sangat merugikan. Hal ini kerana, setiap penyanyi membawa karakter muzik yang berbeza.

“Jadi, lebih baik kita memberi perhatian kepada pilihan muzik masing-masing dan terus mewarnai industri hiburan secara sihat,” katanya.

Anugerah

Sungguhpun figura tinggi lampai itu telah diiktiraf dalam banyak majlis anugerah, antaranya Penyanyi Wanita Terbaik dan Album Terbaik (Explore!) pada NET. Indonesia Choice Awards 2016, namun rasa rendah diri dilihat masih kental berada dalam dirinya.

“Ada yang bertanya, adakah saya berasa tertekan kerana diberi banyak pengiktirafan pada usia muda. Namun, saya tidak melihat ia sesuatu yang negatif kerana banyak lagi yang ingin dicapai dalam karier ini.

“Apa yang penting adalah saya perlu fokus dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah diberikan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai pengiktirafan, Isyana turut menerima dua anugerah terbesar pada 2017 iaitu anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2017 dan Karya Produksi Kolaborasi Terbaik serta Duo/Grup/Kolaborasi/Urban Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017.

Anugerah-anugerah tersebut diberikan atas kerjasama perdana Isyana bersama penyanyi popular senegaranya, Raisa menerusi lagu berentak balada berjudul Anganku Anganmu.

Kongsi Isyana, kolaborasi tersebut dilihat begitu bermakna bagi dirinya. Ia disifatkan sebagai tangkal untuk memperbaiki hubungan antara peminatnya dan peminat Raisa yang pernah berantakan suatu ketika dahulu.

“Lagu ini dicipta untuk memberi gambaran kepada peminat bahawa kita tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk melihat artis yang kita dukung terus melakar kejayaan.

“Pada masa yang sama, saya dan Raisa juga mahu membuktikan yang kami tidak pernah berseteru dan mahu keikhlasan dalam persahabatan ini turut dirasai peminat.

“Jadi, hentikanlah pergaduhan. Lebih baik kita bersatu dan terus memberi sokongan dalam mengukuhkan industri muzik Nusantara,” katanya positif.

Bagaimanapun, Isyana dan Raisa tidak mempunyai perancangan untuk berkolaborasi buat kali kedua dalam masa terdekat.

“Saya akui kolaborasi menerusi Anganku Anganmu memberi pulangan yang sangat besar. Namun, kami mahu fokus dengan karier nyanyian masing-masing, sementelah saya baru muncul dengan album kedua berjudul Paradox,” getusnya jujur.

Peribadi

Merungkai album keduanya secara teknikal, Isyana memberitahu, Paradox ditulis dengan sisi muzikal yang lebih matang, selain liriknya juga digawangi oleh kisah-kisah peribadi yang dilalui sekitar usia 22 hingga 24 tahun.

“Paradox lebih bersifat peribadi berbanding Explore!. Susunan muziknya juga jauh lebih matang selain pengisian cerita yang sangat dekat dengan saya.

“Pemilihan jenis muzik untuk album ini juga sangat berbeza. Sepanjang dua tahun lalu, saya telah mendengar pelbagai jenis muzik dan ia memberi impak yang besar kepada saya.

“Saya berharap agar kelainan-kelainan yang diketengahkan menerusi Paradox dapat memberi dimensi baharu kepada pendengar dalam memahami kematangan muzik saya,” tutur Isyana menutup perbualan.

Biarpun tidak terikat dengan acuan semasa dan trend muzik terkini, penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia, Isyana Sarasvati cemerlang menambat hati peminat menerusi karya-karya indah ciptaannya.