Kata Ismail, 18, buat masa ini dia enggan memberikan sebarang komen lanjut mengenai perkara itu tetapi tidak menolak untuk membuat sebarang kenyataan rasmi bagi  menegakkan kebenaran.

"Saya tidak berani untuk memberikan sebarang komen buat masa ini kerana kenyataan itu nanti dibimbangi akan memberi impak sangat besar atas kes yang sudah terjadi.

"Cuma apa yang saya boleh katakan adalah peminat di luar sana supaya janganlah percaya bulat-bulat dengan apa yang dikeluarkan pihak tersebut," katanya ketika ditemui pada Debaran Bintang Kecil 2018 Zon Semenanjung yang berlangsung di pusat beli-belah MyTown, malam tadi.

Sebelum ini, nama pelantun lagu Luar Biasa itu hangat diperkatakan ramai selepas tersebar gambar mesranya bersama pelakon Zarina Anjolie dan Fathia Latif yang dipercayai diambil di sebuah kelab malam terkemuka ibu negara.

Gambar tersebut pada awalnya dimuatnaik oleh Fathia di laman Instagramnya sebelum tiba-tiba dipadam tidak lama kemudian.

Berikutan penyebaran gambar tersebut, Ismail mengaku salah dan kesal atas kontroversi yang timbul sehingga mengganggu emosinya.

"Berdiam diri tidak bermakna saya salah atau kalah. Namun buat masa sekarang saya cuba untuk keluar dari fasa ini kerana inilah perkara paling besar pernah terjadi selama 18 tahun saya hidup.

"Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan mengaku salah untuk gambar berkenaan kerana telah mengecewakan semua orang, bukannya keluarga dan ibu sahaja.

"Disebabkan kes ini, saya sampai sukar tidur malam kerana asyik memikirkan apa lagi perkara baharu yang akan jadi pada keesokan hari," katanya. - K! ONLINE