Buat Fouziah Gous, Ustaz Ebit Lew dan Alif Satar, Aidiladha yang bakal hadir esok penuh bermakna buat mereka. Bukan sekadar berkongsi pengalaman berada di Tanah Suci, Mekah, tetapi bagaimana mereka beristiqamah untuk kekal menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Perjalanannya bukan mudah dan cukup panjang. Diherdik, dimaki dan dihasut oleh hati sendiri antara dugaan yang dihadapi mereka sebelum mampu tersenyum dengan nikmat diberi oleh Allah pada hari ini.

Ebit Lew

Bermula dengan pendakwah yang cukup popular dalam platform media sosial, Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau. Lelaki yang mula berdakwah seawal usia 12 tahun itu mempunyai satu prinsip bahawa tiada manusia dalam dunia ini yang tidak boleh menjadi baik.

KOSMO!: Apakah yang membuatkan Ustaz mula terjun dalam dunia dakwah?

EBIT: Ketika zaman sekolah rendah, saya seorang budak jahat. Saya pernah menjadi ahli geng yang diberikan nama Setan Kuning. Saya pernah curi motosikal dan melakukan banyak perkara tidak baik. Namun, sewaktu 12 tahun, saya berada dalam kelas Matematik dan gurunya memberi sedikit bingkisan tazkirah. Antara isinya adalah, satu solat yang ditinggalkan akan dilempar dalam neraka selama 80 tahun. Saat mendengar kata-kata itu, saya menangis dengan tiba-tiba dan terus teringat kepada ibu bapa. Sejak peristiwa tersebut, saya mula aktif mengikut golongan ulama pergi berdakwah dan belajar sedikit demi sedikit.

Bagaimana dengan penerimaan keluarga anda?

Saya berasal dari Muadzam, Pahang dan merupakan anak ke-10 daripada 12 adik-beradik. Sewaktu mula-mula mengamalkan Islam, ibu saya, Allahyarham Shamsina terlebih dahulu mengikut saya memeluk Islam. Berbeza dengan bapa, dia pada ketika itu sudah berusia 60 tahun dan seorang yang garang serta tegas. Setiap hari saya berdoa agar Allah lembutkan hati bapa untuk masuk Islam walaupun hati kecil kuat mengatakan perkara tersebut adalah mustahil. Namun, atas kuasa Allah, setahun selepas saya memeluk Islam, bapa juga mengikut langkah yang sama. Pada usia 13 tahun, saya yang mengajar bapa solat.

Mengapa anda memilih untuk berdakwah di kawasan-kawasan panas seperti lorong-lorong pelacuran dan kelab malam?

Saya ada prinsip bahawa dalam dunia ini, tiada orang yang mahu kekal jahat dan tidak mampu berubah menjadi baik. Tidak kira siapa, apa dosa yang dilakukan, Allah Maha Pengampun. Semua individu yang saya dekati sering meluahkan perkara sama iaitu rindu mahu solat dan rindu mahu baca al-Quran. Itu yang paling meruntun hati saya kerana kebanyakan mereka sering berasa diri kotor dan tidak layak untuk kembali ke jalan benar. Saya ingin orang ramai tahu bahawa semua orang mampu berubah jika diberikan bimbingan dan masa secukupnya.

Adakah itu tujuan utama anda apabila memuat naik video-video dakwah dalam media sosial?

Ya, langkah itu antara usaha saya untuk mengubah persepsi masyarakat tentang golongan berkenaan dan kemajuan teknologi sedikit sebanyak membantu menyebarkan secara lebih meluas. Saya cuba memastikan niat video itu dikongsi untuk tujuan dakwah.

Apakah cabaran paling besar yang pernah anda lalui sepanjang bergelar pendakwah bebas?

Sewaktu mula-mula mengikut kumpulan pendakwah ke perkampungan Orang Asli, saya pernah dicampak ke tepi kubur, ditampar orang dan muka diludah. Sewaktu nama saya mula dikenali sekitar lima tahun lalu, ada pihak mempertikaikan ilmu yang saya miliki untuk berdakwah. Saya akui masih kurang ilmu kerana tidak belajar agama secara formal sehingga ke universiti, tetapi setiap hari saya cuba memperbaiki kelemahan. Apa sahaja kritikan yang dilemparkan, saya ucapkan terima kasih. Saya tidak akan balas kerana niat adalah untuk mengajak orang mendekati Islam bukannya berbalah dengan sesiapa. Alhamdulillah, saya bahagia kerana telah berjaya memujuk 40 orang memeluk Islam pada tahun ini.

Digelar sebagai ustaz selebriti, apakah komen anda?

Secara peribadi, saya kurang selesa dilabelkan sebagai selebriti kerana saya hanyalah Ebit Lew, seorang penceramah motivasi yang cuba mengajak orang mendekati Islam. Malah, saya tidak menggelarkan diri sebagai ustaz. Sehingga kini, saya tidak meletakkan ustaz di pangkal nama kerana sedar, saya lebih kepada bidang motivasi. Ustaz adalah satu panggilan hormat oleh mereka yang mengikuti perjalanan dakwah saya selama ini.

Apakah pandangan anda apabila ada berpendapat bahawa ustaz selebriti ini sekadar mengaut keuntungan menerusi ceramah yang dibuat?

Bagi saya, kaya adalah subjektif. Mungkin orang menilai saya daripada apa yang mereka tahu tentang saya sejak lima tahun lepas. Walhal saya telah lama melakukan ceramah motivasi dan mempunyai beberapa perniagaan. Apakah erti kaya sebenarnya? Dahulu saya susah, tiada duit hendak makan, namun ditemani ibu. Sekarang saya diberi rezeki lebih, dijamu makanan lazat, tetapi ibu sudah tiada. Jadi, apalah makna kaya yang orang katakan itu. Setiap ujian yang Allah beri tanda Dia sayang.

Fouziah Gous

Beralih kepada pelakon Fouziah Gous, 37, sambutan Aidiladha memberi makna berbeza selepas dia menunaikan rukun Islam kelima pada tahun lalu. Ibu kepada dua orang anak dan isteri kepada Datuk Mohd. Zhafran Md. Yusof itu kini lebih menghayati erti pengorbanan selepas diduga dengan pelbagai ujian sepanjang mengerjakan ibadah haji.

Apakah perbezaan sambutan Aidiladha Fouziah selepas bergelar Hajah?

Sudah tentu berbeza kerana di sini kita meraikan Aidiladha, ketika menunaikan haji kita serah diri hanya kerana Allah. Saya telah menunaikan umrah sebanyak lima kali, bagaimanapun ibadah haji itu terlalu jauh beza. Selepas semuanya selesai, saya sedar gelaran haji dan hajah itu lebih besar daripada datuk dan datin.

Apakah dugaan paling berat sepanjang menunaikan ibadah haji?

Jika hendak menceritakan dugaan terlalu panjang, tetapi paling berat adalah sehari sebelum berangkat ke Tanah Suci, anak bongsu, Zaheen Yusuf yang berusia sembilan bulan ketika itu baru selesai menjalani pembedahan usus tersangkut. Saya dan suami terbang ketika dia belum sedarkan diri. Bayangkan perasaan saya sebagai ibu. Namun, saya reda dan dahulukan panggilan Allah. Saya tidak sangka diri boleh menjadi begitu kuat.

Selain itu, apa lagi dugaan yang anda alami?

Selepas diduga soal anak, kami terkandas di Filipina selama empat hari kerana terdapat nahas kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila. Disebabkan masalah itu, saya hanya pakai baju yang sama selama empat hari kerana pakaian dalam bagasi di lapangan terbang. Kami tiba di Mekah pada hari menuju ke Arafah. Disebabkan lewat, saya tidak sempat ke hotel dan melakukan ibadah haji dengan baju yang sama dipakai dari Malaysia. Kami terpaksa menumpang tidur di khemah orang lain kerana khemah rombongan saya telah diambil orang. Saya juga tidur di atas tanah beralaskan tikar berbumbungkan langit. Semua itu membuatkan saya sedar, setinggi-tinggi manusia, akhirnya duduk serendah-rendah tanah. Betapa mahal pakej yang dibayar, perjalanan haji setiap orang berbeza. Bayar mahal belum tentu mudah dan selesa, begitulah sebaliknya terpulang pada rezeki.

Boleh kongsikan tentang perubahan imej kepada berhijab?

Saya berhijab sebaik pulang menunaikan haji. Sebenarnya sebelum itu telah lama menyimpan niat untuk berhijab, tetapi bimbang tidak mampu untuk istiqamah. Tambahan orang sekeliling sering memuji kecantikan rambut saya yang panjang dan lebat. Selain itu, saya juga bimbang tentang panas kerana rambut tebal dan migrain. Namun, sepanjang di Mekah dengan suhu yang panas, saya okey sahaja. Allah telah beri saya keluarga, kerjaya dan perniagaan yang berjaya. Jadi, sebaik pulang ke tanah air, saya soal diri sendiri apa lagi yang dimahukan?

Adakah anda sudah tidak berlakon?

Saya masih berlakon tetapi tidak seaktif dahulu kerana perlu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan produk sarang burung, FG Walet. Terbaharu, saya terlibat dalam drama Sara Sajeeda bersama Tiz Zaqyah.