Biarpun begitu, Johan atau nama sebenarnya, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz sempat menjawab perihal nilai eksklusif dirinya yang lebih tertumpu sebagai penyampai radio di Era FM.

Mengaku bersikap selektif dalam soal tawaran kerja, Johan bagaimanapun berkata, dia akan memberi komitmen sepenuhnya andai menandatangani sesuatu pekerjaan.

Ujar Johan, 35, isterinya, Ozlynn Wati merupakan pengkritik paling jujur yang banyak menabur jasa terhadap perjalanan kerjaya seninya.

Kosmo!: Mengapakah Johan terbuka hati untuk menerima tawaran terlibat dalam teater Pawana Isabella?

Johan: Saya bekerja untuk duit (ketawa). Sebenarnya, saya tidak tahu Pawana Isabella jalan ceritanya rumit. Selepas menandatangani kontrak, baru saya tahu teater ini berbentuk bangsawan moden yang melarang saya untuk membuat terlalu banyak komedi. Skrip teater ini tidak boleh diubah langsung kerana itu undang-undang yang ditetapkan pengarah, Erma Fatima. Jadi, jangan lupa menonton teater ini bermula 21 Ogos lepas sehingga 31 Ogos depan di Istana Budaya.

Adakah anda menyesal apabila mengetahui tentang realiti teater ini yang memerlukan anda untuk menonjolkan sisi serius?

Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah saya persetujui. Saya teruja kerana melakonkan watak yang tidak pernah saya dijayakan sebelum ini. Diharapkan watak dalam teater ini dapat menonjolkan sisi berbeza Johan yang cukup sinonim sebagai pelawak.

Ramai penganjur berpendapat bayaran anda terlalu tinggi sehingga mereka takut untuk memberi tawaran kerja. Apakah komen anda?

Mengarutlah bayaran saya tinggi. Apa yang boleh dijanjikan, saya akan beri komitmen 120 peratus selepas menerima sesuatu pekerjaan. Saya akan pastikan orang yang mengambil saya bekerja rasa berbaloi dengan bayaran diberikan kepada saya.

Adakah wujud terma pakej apabila mengambil anda dan isteri bekerja serentak?

Sejujurnya, harga saya dan isteri berbeza. Tiada istilah beli satu percuma satu. Bagaimanapun, saya suka jika kami bekerjasama dalam sebarang projek. Andai isteri jatuh sakit, dia ada di depan saya.

Apakah peranan isteri dalam menentukan perjalanan kerjaya seni anda?

Isteri perlu ada sentiasa bersama saya. Dia akan jadi ‘mata penonton’ dan paling penting sebagai orang yang akan memberi kritikan kepada saya. Boleh saya katakan, dia adalah pengkritik paling jujur. Bagi saya, kalau orang paling dekat kata kita tidak bagus, apa lagi orang luar. Isteri saya sudah tahu semua perkara tentang saya.