Menurut Julia, menerusi pertolongan seorang kawan, hasrat tersebut sudah disampaikan kepada pelantun lagu Manis Manis Cinta itu. 

"Sejujurnya, saya tiada masalah dengan Syafiq. Dia berhak untuk sama-sama terlibat dalam persembahan atau showcase ini. Bagaimanapun, Syafiq mungkin akan jayakan persembahan pada masa dan lokasi lain nanti. 

"Ini adalah persembahan tribute untuk Allahyarham. Cumanya, pada tarikh persembahan yang dirancang, Syafiq tidak dapat memberikan komitmen untuk melakukan persembahan kerana terlibat dengan persembahan lain," kata Julia, 50. 

Kata Julia lagi, showcase jelajah masih lagi dalam perbincangan dan akan diberitahu kepada media dari semasa ke semasa. 

"Persembahan jelajah akan ke beberapa negeri di Malaysia. Bukan itu sahaja, kami juga merancang untuk ke Indonesia seperti yang dirancang sebelum pemergian Allahyarham. 

"Dalam persembahan nanti, ahli kumpulan Iklim yang lain turut dijemput untuk sama-sama menjayakan impian Allahyarham ini," terangnya lagi. 

Sebelum ini sekitar 2017, wujud perselisihan faham apabila Saleem dan isteri telah ‘menyerang’ syarikat rakaman MVM Sdn. Bhd. yang juga merupakan syarikat yang menaungi anaknya itu.

Beberapa isu dibangkitkan oleh mereka termasuklah isu tidak membenarkan anaknya untuk menyanyikan lagu popular miliknya. - K! ONLINE