Kini, membuka tirai tahun 2018, penyanyi kelahiran Sarawak itu terus memikat halwa telinga peminat dengan suaranya yang disifatkan mirip vokal penyanyi Indonesia iaitu Afgan dengan kehadiran single baharu berjudul Cinta Terakhir.

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Mohamad Shah Riadzi itu turut meneruskan langkah dengan kemunculan album debut berjudul Sempurna.

Ditemui ketika majlis pelancaran single Cinta Terakhir dan album Sempurna di Red Box, The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, lelaki berusia 33 tahun itu tenang berkongsi cerita di sebalik pembikinan single baharunya.

“Lagu Cinta Terakhir merupakan dedikasi istimewa saya buat arwah ayah yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada jantungnya sekitar bulan Ogos 2016.

“Ayah merupakan penyokong utama dalam kerjaya seni. Ketika dia meminta untuk menuliskan sebuah lagu buatnya, saya dapat merasakan seperti ada sesuatu yang bakal terjadi,” katanya membuka bicara.

Berkonsepkan balada yang meruntun jiwa, jelas Ir Radzi, hubungan dengan ayah begitu rapat biarpun arwah pernah menyimpan hasrat untuk melihatnya mengikut jejak menjadi seorang jurutera.

Biarpun Ir Radzi memilih dunia seni sebagai cabang kerjaya, namun arwah bapanya tetap menyokong pilihannya. Malah, ayahnya juga sering menerapkan nilai merendah diri biarpun sudah bergelar penyanyi.

“Hubungan saya dengan arwah ayah memang sangat rapat. Biarpun ayah pernah menyuarakan pendapat agar saya menjadi seorang jurutera sepertinya tetapi dia tetap menyokong kerjaya pilihan saya.

“Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anaknya berjaya, jadi ayah sering berkongsi idea dan pendapat sebagai tanda sokongan terutama ketika sedang menghasilkan lagu baharu,” terangnya panjang lebar.

Relevan

Terus rancak bercerita, sengaja kemudian penyanyi, komposer, pelakon dan pengacara itu ditebak soal penerbitan album pertamanya, biarpun sudah berada dalam industri sejak tahun 2006.

Tertawa seketika, ujar Ir Radzi, dia mengambil masa lama untuk menerbitkan sebuah album kerana memberi laluan kepada peminat agar mengenali beberapa single nyanyiannya terlebih dahulu.

Terdahulu, album Sempurna mengandungi lapan buah lagu antaranya Sempurna Waktu, Bujang Duda, Maafkan Aku dan Cinta Terakhir. Mendapat sentuhan komposer ternama seperti Hazami, Audi Mok dan komposer dari Indonesia iaitu Bemby Noor, album berkenaan turut mengandungi dua buah lagu yang belum pernah dilancarkan lagi iaitu Berikan Masa dan Tell Me Why.

“Saya sedar pada zaman sekarang memang agak sukar untuk bersaing dalam soal penjualan album secara fizikal. Jadi, saya dan syarikat pengurusan Cloudworks Record bersetuju untuk mengeluarkan sebanyak 100 salinan sahaja.

“Lagu Maafkan Aku dan Sempurna Waktu pernah dilancarkan pada tahun 2015, kemudian pada tahun lalu pula saya ada melancarkan single duet berjudul Bujang Duda bersama rakan baik iaitu CK Faizal.

“Biarpun, kebanyakan lagu dalam album ini telah dikenali peminat, namun saya yakin dengan kehadiran single Cinta Terakhir dan dua lagi lagu yang belum dilancarkan, ia mampu menarik perhatian peminat untuk mendapatkannya sebagai koleksi mereka,” tutup Ir Radzi yang akan berulang alik dari Kuching ke Kuala Lumpur dalam rangka mempromosikan album tersebut.