Bukan sahaja mengundang perhatian netizen, bahkan tindak tanduk diri pelakon berusia 36 tahun itu turut mendapat respons daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri gara-gara perlakuan dirinya yang disifatkan aneh.

Pada masa sama, apa yang terjadi kepada Iqram itu turut menjadi perhatian beberapa pihak lain termasuklah pakar kaunseling yang menyifatkan Iqram mungkin memerlukan rawatan berdasarkan pemerhatian kepada tingkah laku seolah-olah menggambarkan dirinya mengalami tekanan.

Biarpun pelbagai spekulasi yang timbul, Sensasi Bintang cuba menghubungi sendiri pelakon filem Dunia Baru The Movie itu baru-baru ini.

“Tekanan? Adalah sedikit mengalami tekanan. Bagaimanapun, tekanan itu bukanlah berpunca daripada pemergian arwah bapa saya, sebaliknya saya tertekan dengan manusia bernama netizen ini.

“Mereka sesuka hati mahu mengecam orang dan menabur fitnah yang bukan-bukan. Siapa mereka untuk berbuat demikian? Pelbagai kata-kata yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada saya, jadi saya pulangkan semula kepada mereka, tetapi ada pula yang berasa diri mereka terancam,” katanya ketika dihubungi.

Iqram memberitahu, jika benar dirinya tidak waras seperti yang didakwa beberapa pihak, dia mengalu-alukan kedatangan mana-mana individu yang mahu membantunya.

Katanya lagi, dia lebih selesa jika pihak yang mahu mengetahui status keadaan dirinya sebenar untuk datang bertemu dengannya sendiri.

“Kalau betul ada pihak yang ingin membantu daripada aspek kaunseling, saya mengalu-alukan kedatangan mereka. Bagaimanapun, dengan syarat bukanlah hanya perjumpaan kosong, sebaliknya mempunyai inisiatif untuk bersama-sama dalam membantu netizen di luar sana dengan memberi motivasi kepada mereka agar jangan sewenang-wenangnya menabur fitnah,” kongsinya yang memberitahu belum lagi bertemu dengan mufti selepas pelawaannya tempoh hari.

Ekoran perhatian meluas yang diterima Iqram, dia mengakui kenalan artis juga ada yang menghubunginya sendiri untuk bertanyakan hal sebenar.

“Ada yang menghubungi saya termasuklah Erma Fatima, Usop Wilcha dan lain-lain lagi. Mereka memang mengenali diri saya, jadi tahu kedudukan sebenar,” katanya.

Biarpun menyifatkan apa yang dilaluinya itu dek netizen yang mengikuti perkembangan dirinya di Instagram, Iqram memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menutup akaun media sosial miliknya itu.

“Untuk apa saya tutup? Saya tak perlu takut dengan netizen,” katanya.

Dalam pada itu, Iqram memberitahu, dia kini merancang untuk bekerjasama dengan ibunya sendiri, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 67, untuk mengembangkan bisnes pakaian miliknya iaitu di bawah jenama Bawaabata Merebucks.

“Saya memang mahu mempopularkan jenama tempatan sendiri terutamanya di Ipoh, Perak. Insya-Allah, mungkin satu hari nanti saya mahu kembangkan koleksi bersama ibu saya pula,” katanya yang tidak kisah jika netizen melabelkan dirinya sebagai individu yang suka menjadi perhatian umum.