Baginya, kegusaran yang bersarang dalam fikiran hanya melibatkan kelancaran majlis pernikahan yang bakal berlangsung pada 9 Disember ini diuruskan sendiri bersama bantuan ahli keluarga.

Mencabar diri untuk melakukan persiapan hari bahagianya sendiri, Aisya mengakui ia bukan satu tugas mudah, sementelah dia sendiri perlu menumpahkan perhatian terhadap kerjaya lakonan.

Jadual kerja yang tidak menentu menjadi antara alasan dia terpaksa menggunakan ‘talian hayat’ agar persiapan majlis dapat dilakukan dengan sempurna.

“Saya nasihatkan kalian yang ingin berumah tangga perlu mendapatkan khidmat nasihat perancang perkahwinan kerana ia dapat memudahkan kerja dan melancarkan persiapan.

“Melihat kepada persiapan, saya tidak lagi gentar untuk berkahwin tetapi mengharapkan agar majlis tersebut berjalan lancar dengan bantuan mereka,” ujar Aisya dalam nada berseloroh seraya melepaskan ketawa kecil.

Melanjutkan cerita, pelakon drama rantaian Romi Cinta Julia itu berkongsi ceritera di sebalik perkenalannya dengan jejaka yang kini telah bergelar tunangannya.

Diperkenalkan oleh kenalan dan kakak-kakaknya, anak keenam daripada lapan beradik itu hanya menuruti permintaan hanya untuk memuaskan hati mereka.

Namun tanpa diduga, jejaka yang diperkenalkan itu merupakan teman sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ4, Subang Jaya. Tanpa memerlukan masa yang lama untuk saling mengenali, Aisya lantas menyuarakan pendiriannya terhadap Yasir.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya telah sering untuk bercinta dan putus. Disebabkan itu saya bercakap jujur dengan Yasir agar dia tidak tersalah tafsir mengenai hubungan ini.

“Saya inginkan hubungan yang serius dan enggan membuang masa bercinta bertahun-tahun, namun akhirnya putus di tengah jalan. Alhamdulillah, niat kami serupa dan Tuhan memudahkan perancangan untuk meneruskan hasrat berumah tangga,” tutur Aisya panjang lebar sambil mengukirkan senyuman.

Pada masa sama, adik kepada Cef Anis Nabilah ini turut senang dengan personaliti Yasir yang ramah serta mudah mesra sama sepertinya. Selain itu, sikapnya tidak cemburu buta membantu Aisya memberi fokus kepada kerjaya yang memperuntukkan dirinya bergaul dengan pelakon lelaki.

“Kami telah berbincang dan Yasir tidak mempunyai masalah sekiranya saya ingin terus aktif dalam bidang lakonan. Dia juga bukan jenis lelaki yang kuat cemburu.

“Selepas mendirikan rumah tangga, saya sendiri mengetahui tanggungjawab sebagai isteri dan tidak mungkin melakukan perkara yang akan mengaibkan keluarga,” terang Aisya.

Perlu waktu

Sekiranya Aisya meluahkan kesediaannya untuk bernikah pada hujung minggu ini, pelakon Nazrief Nazri pula melontarkan jawapan yang berbeza.

Memperkenalkan kekasih hatinya sebagai Angella Joliey, jejaka berusia 26 tahun itu bagaimanapun masih tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin dalam tempoh masa terdekat.

Tidak memperincikan mengenai latar belakang kekasihnya itu, Nazrief mengakui dia kini dalam proses mengenali hati budi wanita berusia 23 tahun tersebut.

Meskipun menjalin hubungan serius dengan wanita dari Negeri Sembilan itu, Nazrief memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya dalam industri hiburan terlebih dahulu sebelum berumah tangga.

Baginya, sebagai lelaki dan bakal menjadi ketua keluarga dia perlu mempersiapkan diri demi jaminan masa depan.

Pada masa sama, dia juga ingin memberi peluang buat kekasihnya membina kerjaya sebagai seorang model.

“Setiap pasangan yang bercinta pasti mengharapkan hubungan mereka berakhir ke jenjang pelamin. Buat masa ini, saya memilih untuk fokus kepada kerjaya, selain mengukuhkan kedudukan kewangan terlebih dahulu.

“Setelah berkahwin dan mempunyai zuriat kelak, pasti kita ingin memiliki kediaman sendiri. Disebabkan itu saya ingin menyediakan kelengkapan yang perlu sebelum berkahwin,” terangnya yang meletak sasaran berkahwin sebelum mencecah usia 30 tahun.

Biarpun Nazrief tampak senang berkongsi kisah peribadinya, namun dia tetap berpendapat perkara tersebut tidak perlu terlalu ditonjolkan berbanding kerjaya.

Bukan sahaja bimbang tumpuannya terganggu, pelakon itu sebaliknya mementingkan kualiti berbanding kontroversi mahupun menjaja kisah cinta demi meraih publisiti.

“Saya ingin peminat menilai kualiti kerja berbanding dikenali dengan cerita kurang enak. Saya juga ingin mengukuhkan kedudukan dalam industri dan cuba meneroka pelbagai cabang seni lain,” ujarnya yang turut terlibat dengan aktiviti pengacaraan dan nyanyian.

Program HyppTV

Selain berkongsi tentang sisi peribadi, pelantun lagu Cinta Semalam itu turut bercerita mengenai penglibatannya mengendalikan program yang bersiaran di saluran HyppTV (saluran 113) bertajuk Buletin 113.

Memasuki musim kedua, program tersebut memaparkan aktiviti sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan demi membantu golongan yang tidak bernasib baik.

Pengalaman sebagai hos program terbabit telah memberinya peluang untuk mengembara ke seluruh Malaysia bersama NGO dan mendekati masyarakat bagi membantu mereka.

Tidak hanya individu, Nazrief pernah terlibat menyelamatkan haiwan terbiar dengan memberikan perlindungan dan rawatan sewajarnya.

“Saya tersentuh apabila mereka bukan sahaja membantu orang tua, anak yatim atau golongan yang kurang berkemampuan tetapi haiwan yang hidup di jalanan turut mendapat bantuan.

“Program ini telah membuka mata saya untuk bersyukur dengan nikmat yang diterima berbanding individu lain. Sekiranya kita berasa kesukaran dilalui sekarang sukar, sebenarnya ada pihak lain yang menjalani kehidupan lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Aisya turut terlibat dalam drama rantaian di stesen televisyen sama bertajuk Mek Gyver. Drama terbitan A.Aida Production itu menceritakan tentang kehidupan seorang wanita bersama Zara lakonan Aisya yang mahir melakukan kerja baik pulih.

Drama bercorak komedi itu secara tidak langsung mencabar kemahiran Aisya untuk tampak profesional melakukan aktiviti baik pulih meskipun kenyataan sebenar sebaliknya.

Dia juga tidak menafikan melakukan beberapa kajian sendiri bagi memastikan karakter yang dilakonkan kelihatan realistik selain mengelak ‘kecaman’ daripada peminat.

“Saya banyak bertanya kepada kru produksi dan tenaga kerja yang berkemahiran mengenai cara sebenar terutama melibatkan kerja membaiki paip dan jentera.

“Pengalaman yang sukar dilupakan apabila saya perlu memanjat sebuah jentolak di bawah terik mentari. Bukan kerana cuaca tetapi disebabkan saya gayat berada di tempat tinggi menyebabkan babak berkenaan menjadi satu perkara mencabar,” ujar nya.

Aisya juga mengharapkan agar peminat memberi sokongan kepada naskhah arahan Rusdi Ramli yang bersiaran setiap Jumaat bermula 15 Disember ini di saluran 113.

Perkara sama turut disuarakan oleh Nazrief terhadap program dikendalikan olehnya bersiaran pada setiap Isnin bermula 4 Disember lalu menerusi saluran yang sama.

Aisya Hasnaa bersyukur bakal suami, Muhammad Yasir tidak menghalang dia terus berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, manakala Nazrief Nazri masih mempersiapkan diri sebelum mendirikan rumah tangga bersama kekasih yang dikenali sebagai Angella Joliey.