Bermula dengan Iron Man yang diterbitkan pada tahun 2008, MCU dikembangkan dengan pengenalan watak-watak adiwira popular seperti Hulk, Thor, Captain America, Star-Lord, Ant-Man, Spider-Man, Black Panther dan Captain Marvel.

Selain filem-filem pengenalan watak adiwira yang berdiri sendiri, MCU turut diperkuatkan dengan naskhah gabungan (crossovers) menerusi Avengers.

Bermula dengan The Avengers yang ditayangkan pada tahun 2012, filem gabungan tersebut terus menawan hati khalayak dengan Avengers: Age Of Ultron tiga tahun kemudian. Kegilaan peminat bertambah kronik apabila pengarah adik-beradik, Anthony dan Joe Russo mempersembahkan Avengers: Infinity War pada tahun lalu.

Dikatakan sebagai penutup kisah perjuangan adiwira Avengers, filem berkenaan dibiarkan tergantung dengan penutupnya, Avengers: Endgame mula ditayangkan pada Rabu lalu.

Sempena dengan tayangan filem tersebut, Kosmo! merangkumkan wawancara bersama enam pelakon utamanya iaitu Robert Downey Jr. yang membawakan watak Tony Stark atau Iron Man, Chris Evans (Steve Rogers atau Captain America), Scarlett Johanson (Natasha Ramanoff atau Black Widow), Brie Larson (Carol Danvers atau Captain Marvel), Chris Hemsworth (Thor) dan Paul Rudd (Scott Lang atau Ant-Man).

Robert

KOSMO!: Robert, ketika pertama kali menyarungkan kostum Iron Man, adakah anda telah membayangkan perjalanan kisah hidup Tony Stark dan perkembangan karakternya?

ROBERT: Ketika itu, saya tidak berfikir jauh. Saya hanya cuba menjalankan tugas sehabis baik dalam menjayakan watak Tony Stark. Pada masa sama, saya berasa seperti seorang warga emas yang diberi tugas memikul tanggungjawab besar menghidupkan francais bersaiz mega ini.

Kita lihat sebuah keluarga besar yang sama-sama berkembang dan memahami antara satu dengan lain. Bagi saya, situasi sebegitu merupakan sebuah pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Babak Spider-Man bertukar menjadi debu dalam Avengers: Infinity War meninggalkan kesan yang luar biasa dalam diri penonton. Bagaimanakah sebenarnya situasi anda ketika itu?

Saya suka dengan pencahayaan dalam babak tersebut. Wajah saya sangat teruk ketika itu dan kami terpaksa melakonkannya sekitar dua kali. Saya pernah menonton babak tersebut dengan seorang kanak-kanak yang tidak berkesempatan ke panggung. 

Reaksinya sungguh luar biasa! Jadi, saya mahukan kejutan serupa dalam Avengers: Endgame.

Chris Hemsworth

KOSMO!: Apakah yang membuatkan watak Thor sangat digemari dalam filem-filem Thor dan francais Avengers?

CHRIS HEMSWORTH: Ketika menonton filem perdana Iron Man sewaktu masih di sekolah tinggi, saya sering berimaginasi. Alangkah bagus kalau saya dapat berlakon dan ‘masuk’ ke dunia yang serupa. Tanpa disangka, saya berjaya mendapatkan watak Thor beberapa tahun kemudian. 

Antara tiga filem Thor, penonton menggemari karakter saya dalam Thor: Ragnarok. Jadi, saya memutuskan untuk terus berlakon dengan karakter sebegitu. Bagi saya, semuanya kerana interaksi bersama pelakon dan kru yang sentiasa berubah dalam setiap filem. Bagi saya proses itu merupakan satu perjalanan yang indah.

Chris Evans

KOSMO!: Captain America merupakan hero klasik dengan kod etika moral yang tinggi. Bagaimanakah rasanya berlakon sebagai hero kesayangan ramai ini dalam Avengers: Endgame?

CHRIS EVANS: Banyak momen menarik sewaktu menjayakan filem ini. Tetapi, saya harus bersetuju dengan Chris Hemsworth yang hubungan baik antara pelakon merupakan pengalaman paling bermakna sepanjang menjayakan filem Avengers: Endgame dan filem-filem terdahulu. Mereka seperti keluarga.

Seperti semua sedia maklum, Captain America merupakan seorang ketua. Bagaimanakah watak tersebut menyesuaikan diri dengan karakter ketua-ketua lain seperti Black Panther dan Captain Marvel dalam Avengers: Infinity War dan Averngers: Endgame?

Mengikut watak, Captain America lebih sesuai dengan orang yang tidak mementingkan diri. Sebab itu saya suka menjayakan babak bersama Robert (yang menjayakan watak Tony Stark) kerana karakternya jauh berbeza dengan Steve Rogers. Apabila watak-watak Black Panther dan Captain Marvel diperkenalkan, situasi menjadi lebih menarik kerana kedua-duanya mempunyai elemen kepimpinan yang serupa dengan Captain America.

Scarlett Johansson

KOSMO!: Scarlett, sejak Iron-Man 2, peminat mengenali anda sebagai Black Widow. Bagaimanakah watak adiwira yang anda jayakan itu berubah mengikut filem?

SCARLETT: Watak Black Widow atau Natasha Ramanoff bermula sebagai seorang setiausaha yang seksi. Ketika itu, saya tidak tahu apakah tanggapan penonton terhadap Natasha. 

Namun, menerusi francais Avengers, wataknya mula berkembang. Black Widow mula dilihat setanding dengan watak-watak adiwira lain. 

Keterujaan bersama para pelakon semakin bertambah apabila watak adiwira perempuan lain seperti Captain Marvel diperkenalkan. Sejujurnya, saya masih tidak percaya dengan kelangsungan watak Black Widow sehingga ke hari ini.

Paul Rudd

KOSMO!: Bagaimanakah rasanya dapat berlakon di samping pelakon-pelakon Avengers yang lain?

PAUL: Saya berasa sangat berbesar hati dapat berlakon dengan aktor dan aktres yang benar-benar mencintai apa yang mereka lakukan. Saya juga tertarik dengan impak yang dicetuskan oleh Avengers terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Apakah yang boleh dijangkakan oleh penonton daripada Ant-Man menerusi Avengers: Endgame?

Watak Ant-Man kali ini boleh diibaratkan seperti seorang lelaki yang menumpang kereta dan sudah bersedia untuk menuju ke sebuah destinasi. Agak luar biasa perasaan tersebut.