Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A M Salim, 25, berkata, pada awal perkenalan jejaka itu kelihatan normal bagaimanapun mula menonjolkan naluri songsangnya baru-baru ini.

Menurutnya, Instafamous itu sering mengajaknya untuk berjumpa, tetapi dia tidak mengendahkan pelawaan tersebut.

"Dia menegur saya di Instagram kemudian saya membalas mesej tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai sombong.

"Pada mulanya komunikasi kami menggunakan kata panggilan 'bro' sehingga secara tiba-tiba dia mula memanggil saya sebagai 'baby'.

"Sejak daripada itu saya sudah tidak melayan mesej sedemikian," katanya kepada Kosmo! Online.

Syafiq yang kini sedang mempromosikan lagu Demi Setia berkata, dia tidak menyekat Instagram individu itu kerana lelaki berkenaan tidak menghantar mesej menghina.

"Mungkin dia menyokong saya sejak sebelum dari Big Stage. Saya tidak mahu kehilangan insan yang sentiasa menyokong karier saya. Selagi tidak berlebihan biarlah," jelasnya.

Sementara itu, Syafiq akan terbabit dengan sebuah konsert jelajah iaitu Gempakzilla Festival yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan di Pahang pada 28 September ini.

Konsert tersebut bakal mengumpulkan semua artis bawah naungan label MVM dan Rusa. - K! ONLINE