Dibarisi oleh Syed Mir Iqbal selaku vokalis dan gitaris, Ahmad Danial (gitaris), Wan Arif Iskandar (bass) dan Gavin Wong (drummer), Imsoniacks mula memikat hati pendengar dengan single sulung mereka berjudul Selalu.

Bukan itu sahaja, single berkenaan turut dipilih menjadi lagu runut untuk drama rantaian My Coffee Prince yang pernah ditayangkan di saluran Astro sekitar bulan November tahun lalu.

Ternyata, pemilihan itu sekali gus membuatkan band yang dibarisi anak muda yang kesemuanya berusia 20 tahun itu kini menjadi kegilaan ramai.

“Lagu Selalu merupakan hasil gabungan idea kami bersama dan muziknya dibantu oleh Bo Amir Iqram. Pada awalnya ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan kemudian diterjemah kepada bahasa Melayu kerana mahu diterima oleh semua lapisan pendengar.

“Tidak sangka single Selalu kemudian dipilih menjadi lagu runut untuk drama My Coffee Prince. Ia sangat membantu dalam menaikkan nama band kami yang telah ditubuhkan sejak tahun 2015,” ujar Syed Mir Iqbal atau mesra dengan gelaran Iqie.

Diajak bercerita lanjut tentang pemilihan nama Insomniacks, mereka kemudian tertawa besar. Ujar Iqie, selain mendapat idea dari aktiviti mereka yang kerap bermain muzik sehingga larut malam, Insomniacks juga diinspirasi daripada masalah insomnia atau kesukaran tidur yang dihadapi oleh Ahmad Danial.

“Secara kebetulan, Ahmad Danial atau mesra dengan panggilan Dan memang mempunyai masalah insomnia sejak dari dahulu. Hal itu membuatkan kami terus sepakat memilih nama Insomniacks sebagai nama kumpulan.

“Pun begitu, ejaan pada Insomnia sengaja ditambah huruf ‘CKS’ pada bahagian belakang bagi menggambarkan muzik pop rock dan punk rock yang kami perjuangkan,” terangnya panjang lebar.

Pengganti

Mendengar alunan melodi dalam lagu Selalu, sengaja kemudian Insomniacks ditebak soal persamaan kumpulan mereka dengan Bunkface.

Tidak menafikan ramai peminat yang membuat perbandingan malah ada juga yang menyatakan Insomniacks merupakan pelapis Bunkface, ujar Dan, sebolehnya mereka mahu dikenali dengan bakat dan muzik sendiri.

“Tidak dinafikan Bunkface merupakan antara band kegemaran dan kami membesar dengan muzik mereka. Begitu pun, sebagai pendatang baharu kami tetap mahu dikenali dengan muzik kami sendiri.

“Biarpun kami memperjuangkan genre punk rock dan pop rock, tetapi tidak mahu mengganti atau menumpang populariti mereka. Sebolehnya, kami ingin sambung legasi muzik mereka dengan cara tersendiri,” terangnya.

Sebelum mengakhiri bicara, Insomniacks sempat ditanya soal resipi yang diamalkan dalam menjaga keutuhan hubungan persahabatan antara mereka.

Berharap mereka dapat mengikut jejak langkah Bunkface yang mampu bertahan bersama melebihi usia sedekad dalam industri, Dan menyampaikan kalimat berbunyi begini.

“Sejak sebelum menubuhkan band ini lagi kami sudah berkenalan, jadi tiada masalah buat kami untuk mengutamakan hubungan persahabatan dalam segala hal.

“Mujur kami tidak mempunyai ego yang tinggi, jadi jika salah seorang berbuat salah kami akan menegur dan menerima teguran dengan hati terbuka. Kami harap dengan cara itu akan membuatkan hubungan persahabatan kami kekal selamanya,” tuturnya seraya menutup bicara.