Digelar sebagai naskhah terbaik dengan penghayatan paling mencengkam yang pernah dipersembahkan, namun itu bukan alasan untuk pemilik nama lengkap, Mohammad Zalimei Ishak itu mendabik dada.

Akuinya, selama ini pun dia sentiasa mahu memberi lakonan cemerlang.

Namun, pelakon yang pernah dipanaskan dengan siri Nur Kasih itu memberitahu, biarpun selepas lebih sedekad berlakon, dia belum pernah menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik anugerah berprestij, Festival Filem Malaysia (FFM).

Kehadiran Pulang nampaknya mampu membuka luas mata ‘pemerhati filem’ untuk menilai bakat Remy dengan lebih telus.

Andai Pulang juga gagal menyulam namanya pada perenggan berkenaan, Remy tetap optimis akan terus mencuba yang terbaik dalam naskhah yang berikutnya.

“Sepanjang bergelar pelakon, saya memang tidak pernah menang trofi FFM. Sejujurnya, saya sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi, namun kalau Pulang membuka ruang saya untuk ke arah itu, saya berbesar hati.

“Setiap pelakon mempunyai impian iaitu kerja mereka mendapat pengiktirafan. Saya tidak mengharap sangat. Saya percaya kalau kita bagus, baru kita diberi peluang untuk berada dalam kelompok (pelakon terbaik). Andai tidak, saya positif sahaja,” ujar penerima trofi Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 2017 kepada Kosmo!.

Trofi, penerimaan

Mengulas lanjut apabila ditebak persoalan sama ada dia berasa terkilan atau kecewa berdepan senario tidak pernah langsung menang trofi FFM, Remy mempunyai penjelasannya tersendiri.

“Ada yang orang yang ‘cucuk’ saya bahawa semua ini politik dalam industri. Pada mulanya, saya seperti percaya dengan pendapat itu, namun semakin lama, saya lebih percaya dengan kewujudan rezeki. Kalau belum berkesempatan untuk menang, maknanya kita belum cukup bagus.

“Leonardo DiCaprio pun selepas lebih 20 tahun baru memang Oscar. Siapa pula saya untuk runsing tentang hal tersebut. Apa yang lebih penting adalah menghasilkan kerja yang bagus. Menang trofi atau tidak, terserah pada rezeki,” ujar Remy.

Diajak berbicara tentang karakter Othman dalam Pulang, Remy menerima pujian menggunung tentang kualiti filem terbitan Primeworks Studios berkenaan. Tidak kurang, ramai juga yang sedikit mengeluh tentang teknik penjanaan komputer (CGI) yang seperti sedikit lompong.

Remy sendiri cakna dan mengakui hal berkenaan.

Ujarnya: “Ramai yang memuji soal jalan cerita, penataan bunyi dan sinematografi. Saya juga dengar ramai kata CGI sedikit menghampakan.

“Masalah filem Malaysia adalah bajet. Kalau ada bajet dan kepakaran, saya percaya ia boleh diterjemahkan dalam keadaan yang lebih sempurna. Kita pun bekerja dalam kapasiti bajet yang diberikan dan diharapkan untuk filem-filem Malaysia akan datang, hal berkaitan CGI terus dipertingkatkan.”

Othman

Lagi tentang Pulang, Remy mendedahkan, karakter itu amat dekat dengan dirinya kerana dia juga berdepan kepayahan hidup sebelum berkecimpung dalam dunia lakonan.

Kongsinya, dia terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana keluarga berdepan masalah kewangan.

“Untuk melakukan sesuatu watak dengan baik, sebaiknya kita sendiri perlu merasai atau mempunyai pengalaman kesusahan atau kemanisan watak yang dibawa.

“Othman mengingatkan tentang kehidupan sewaktu belum bergelar selebriti. Saya belajar pun tidak tinggi kerana terpaksa melupakan hasrat menyambung pelajaran kerana perlu menyara keluarga,” kongsi Remy.

Menyambung perbualan, Remy sebenarnya amat bersyukur kerana sentiasa dipertemukan dengan rakan pelakon yang sangat memberi kerjasama terbaik termasuk dalam Pulang.

Dia mudah beroleh keserasian apabil beradu bakat bersama pelakon pembantu, Alvin Wong (watak Lum) dan heroinnya, Che Thom lakonan Puteri Aishah.

Katanya: “Alvin seorang yang suka menyakat ketika di set penggambaran. Apa yang menghairankan, apabila Alvin menyakat, saya okey sahaja. Itu bermakna keserasian antara kami mudah dicapai.

“Alvin tahu saya jenis yang tidak banyak bercakap apabila di set penggambaran tetapi dia peduli apa, dia teruskan juga perangainya yang happy-go-lucky dengan semua orang.

“Saya juga faham Puteri pula masih baharu ketika kami memulakan penggambaran. Saya tidak mengharapkan lebih, misalnya bayi yang baru lahir daripada perut ibu untuk terus berlari.

“Jadi, saya menggunakan beberapa cara iaitu dengan bersikap dingin dengannya di dalam dan di luar set penggambaran,” jelas Remy.

Berkesan

Pada hemat lelaki berkulit sawo matang itu, pendekatan yang diambil membuatkan Puteri menganggapnya sebagai seorang pelakon yang garang ketika menjalani penggambaran.

“Saya ingin kekalkan momentum mood Che Thom, jadi saya terpaksa bersifat dingin dengan Puteri Aishah. Saya ingin dia berikan yang terbaik untuk watak berkenaan.

“Alhamdulillah, filem pun sudah menjengah pawagam dan saya gembira dengan apa yang dihasilkan dalam Pulang,” jelasnya yang bakal menyusul dengan tiga judul filem tahun depan iaitu The Legend Of Pontianak, Proksi dan Sangkar.

Merancang menonton Pulang bersama keluarga dalam masa terdekat di pawagam berhampiran, Remy sempat berkongsi pengalaman adegan yang dirasakan paling berkesan dan mencabar buatnya dalam filem berkenaan.

Detik paling berat buat Remy adalah semasa menjayakan fasa Othman sudah tua (berusia 53 tahun).

“Pada mulanya, saya bengang apabila jurusolek ‘menghias’ wajah saya seperti berusia 70 tahun sedangkan saya sepatutnya berusia 53 tahun.

“Selepas berbincang dengan Kabir, dia menjelaskan bahawa Othman seorang lelaki yang bekerja keras dalam hidup dan faktor itu memberikan kesan kepada fizikalnya.

“Kemudian baru saya faham,” jelasnya yang mendedahkan, Pulang berjaya menghilangkan fobia atau ketakutannya terhadap kedalaman air (aquaphobia).

Kahwin

Sebelum menggulung perbualan, sengaja Kosmo! bertanya mengenai hal peribadi. Lebih spesifik, perancangannya untuk menamatkan zaman bujang dengan tunangnya, Ezza Yusof.

Lebih setahun mengikat tali pertunangan, Remy masih berbasa-basi dan berkias. Dia berserah pada rezeki dan takdir untuk bergerak ke fasa perkahwinan seperti didoakan ramai.

“Masih mencari tarikh yang sesuai dan jujurnya, seru (untuk berkahwin) belum sampai lagi. Perhubungan kami masih berjalan seperti biasa.

“Adat bertunang, ada pasang surutnya kadang-kadang berbaik kadang-kadang juga bergaduh. Sekarang saya sedang dalam usaha untuk mengukuhkan ekonomi dan komitmen kerja pula datang bertalu-talu.

“Mohon doakan yang baik-baik sahaja buat saya dan dia. Kalau ada jodoh, insya-Allah ia akan hadir juga tidak lama lagi,” turut Remy menggulung bicara.

Remy Ishak berbicara tentang peranan kelasi kapal bernama Othman dalam filem Pulang yang sedang rancak memukul badai jiwa penonton 
di pawagam seluruh negara sejak minggu lalu.