Sedar tempoh tersebut mungkin akan perlahan-lahan memudarkan portfolionya sebagai pelakon di mata orang Malaysia, Ashraf, 39, menyandarkan sebuah harapan.

Dia berharap, penglibatannya menjayakan watak antagonis bernama Taufik dalam filem aksi berjudul J Retribusi, akan kembali menyegarkan ingatan peminat di Malaysia terhadapnya.

Pemilik nama sebenar, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair itu berkata, Malaysia tetap menjadi titik tolak permulaan kerjayanya.

“Industri hiburan Malaysia yang membesarkan dan membangunkan saya. Justeru, saya berharap dengan penglibatan beberapa projek filem di Malaysia akan menyegarkan nama saya dalam negara ini,” kata suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari itu ketika ditemui Kosmo! pada penggambaran filem berkenaan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Selama berhijrah ke Indonesia, sudah lebih 2,000 episod pelbagai sinetron dijayakannya di sana.

Kawan lama

Diajak berbicara tentang J Retribusi, rezeki melakonkan watak Taufik seperti tiba-tiba jatuh ke ribanya selepas bertemu secara tidak sengaja dengan rakan lamanya, Zul Ariffin.

Kebetulan, sekitar 20 tahun lalu, dia pernah berkongsi lokasi lakonan bersama Zul.

Selepas sama-sama terlibat dalam sebuah iklan, sehingga kini mereka tidak pernah berlakon sama dalam mana-mana projek filem mahupun drama.

“Saya sudah lama ingin berlakon dengan Zul kerana kami sudah lama kenal. Kami mula kenal sewaktu mula terlibat dalam projek iklan dan pemodelan dahulu.

“Saya rasa memang rezeki apabila menerima panggilan daripada penerbit J Retribusi iaitu Gayatri. Dia tawarkan saya berlakon di samping Zul. Dia ingin beri saya watak antagonis dan tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju,” katanya.

Berbicara tentang karakter antagonis bernama Taufik, Ashraf menyifatkan watak tersebut sebagai oportunis, licik dan tenang.

“Saya tidak banyak berlakon adegan aksi. Permainan watak saya lebih ke arah emosi. Semua kerja-kerja ‘kotor’, orang bawah saya yang buat. Saya hanya memberikan arahan sahaja.

“Boleh dikatakan, kejahatan watak Taufik sukar diduga. Dia boleh buat apa sahaja yang dimahukan,” terangnya.

Mengulas tentang inspirasi atau rujukan yang digunakan bagi merealisasikan karakter Taufik, jawab Ashraf: “Inspirasi saya untuk menjayakan watak Taufik bersifat pelbagai.

“Salah satu daripadanya adalah watak jahat dalam Die Hard 4.0. Saya tidak dapat mengingati nama pelakon yang bawa watak jahat itu, tetapi dia sangat tenang walaupun memainkan watak sebegitu.

“Saya juga mengambil inspirasi daripada karakter ikonik seperti Joker. Namun begitu, Taufik tidaklah ‘gila’ seperti Joker.”

Beralih tentang perkembangan kerjaya lakonannya di Indonesia, Ashraf bersyukur masih beroleh peluang di sana dan pada masa sama, diberi kesempatan kembali membina nama di negara sendiri.

Miskin

Dijentik pertanyaan perbezaan terlibat dalam projek lakonan di kedua-dua buah negara, jawabnya jujur, industri Malaysia semakin berkembang namun banyak aspek yang perlu diperbaiki.

“Industri di Indonesia 10 kali lebih besar berbanding Malaysia. Jadi, budaya kerja kedua-dua negara sangat berbeza.

“Sebenarnya, tidak banyak pelakon Malaysia yang berjaya membina nama di Indonesia. Industri Indonesia pula semakin berkembang sampai ada dialog bahasa Indonesia dalam filem terbaharu John Wick yang memperkenalkan seni bela diri silat,” tutur Ashraf.

Lelaki berdarah kacukan British-Melayu itu bagaimanapun optimis bahawa industri kreatif Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang pesat andai mengenepikan semangat ‘keakuan’, sebaliknya bersatu dalam memajukan industri perfileman secara bersama.

“Saya percaya pasaran Asean itu lebih besar berbanding daripada Hollywood. Kalau kita bergabung kita mampu melahirkan sesuatu yang luar biasa,” kongsinya.

Terlanjur bercerita tentang perkara tersebut, Ashraf agak berang apabila ada dalam kalangan peminat yang suka bercakaran dalam ruang sosial media hanya kerana perkara remeh.

“Contohnya, semasa hari raya tempoh hari ada kalangan peminat berbalah apabila isteri saya mengenakan baju kebaya dan disifatkan tidak patriotik.

“Kita semua serumpun. Saya tidak faham, miskin sangatkah pemikiran kita untuk berbalah perkara sebegitu. Kalau orang yang waras pemikirannya, kita tidak akan ambil pusing tentang hal remeh.

“Kalau anda tahu erti bersyukur, kita kongsi sahaja apa yang kita ada kerana suka atau tidak, kita Malaysia dan Indonesia, satu rumpun yang sama,” getusnya menutup perbualan.