Penyanyi yang juga penyampai radio Zayyan, Asmawi Ani, 38, berkata, jenazah ibunya, Ramlah Sarlan dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi tadi bersebelahan pusara arwah bapanya, Ani Ahmad.

Menurutnya, ibu kesayangannya menghembus nafas terakhir pada usia 72 tahun di kediaman keluarga di Felda Taib Andak di sini pada pukul 8.10 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Saya dapat berita kematian arwah mak saya pada malam tadi ketika saya dan isteri, Ekin serta keluarga bersiap untuk pulang ke kampung.

“Anak buah saya telefon mak sudah tidak ada (meninggal) dan kami terus bergegas pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak di sini hari ini.

Mawi berkata, ibunya sebelum ini sudah dimasukkan ke Hospital Kulai sejak hari raya kelima namun dibenarkan pulang tengah hari semalam sejurus kesihatannya stabil.

Pelakon filem Munafik 2 itu berkata, dia reda dengan pemergian insan tersayang itu dan berasa tenang berikutan dia sudah berbakti sebaik mungkin sepanjang hayat ibunya ada.

Berita itu turut dikongsikan Pengurus Kandungan Radio Zayan, Wan Syahrul Amry.

“Alhamdulillah, segalanya telah selesai,” ujar Wan Syahrul ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Wan Syahrul, Mawi akan terus berada di kampung bagi menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan arwah ibunya sebelum kembali bertugas.

“Mungkin Mawi akan bercuti selama beberapa hari bagi menyelesaikan beberapa perkara sebelum dia bertugas semula,” katanya ringkas.

Terdahulu, Mawi sendiri mengimamkan jenazah ibunya di kediaman keluarganya.- K! ONLINE.