Tambahan, naskhah tersebut dibintangi oleh pelakon popular menerusi drama rantaian Stairway to Heaven iaitu Kwon Sang-woo yang bergandingan dengan Sung Dong-il dan Lee Kwang-soo.

Ia masih mengekalkan konsep kisah penyiasatan seperti naskhah siri pertama The Accidental Detective (2015) yang turut dilakonkan pelakon sama.

Tidak terlalu berat, filem TAD2 sarat dengan elemen komedi yang membuatkan penonton terhibur serta setia menanti kesudahan cerita.

Plot penceritaan yang mudah difahami, TAD2 mengisahkan Kang Dae-man (Sang-woo) dan Noh Tae-soo (Dong-il) menyiasat mengenai kematian seorang lelaki.

Sewaktu menyiasat kematian lelaki yang maut digilis kereta api itu, Dae-man dan Tae-soo akhirnya berjaya mengenal pasti punca kematian beberapa individu lain sebelum lelaki tersebut.

Meskipun berkonsepkan kisah penyiasatan, plot penceritaan TAD2 digarap kemas dengan penyelesaian kes dilakukan secara sistematik.

Cara tersebut membuatkan perjalanan filem lebih tersusun dan membantu penonton mudah memahami naskhah arahan Lee Eon-hee itu.

Harmoni

Tidak kurang juga babak aksi dan adegan kejar- mengejar yang mencetuskan debaran kepada penonton termasuk elemen nilai kekeluargaan yang cuba disampaikan.

Bukan sahaja memberi fokus kepada kes siasatan dan dunia kepolisan, TAD2 turut menyuntik elemen tentang kepentingan menjaga keharmonian keluarga dan kerjaya.

Kesibukan kerja membuatkan Tae-soo kurang meluangkan waktu bersama isteri dan anak-anak membuatkan mereka berasa terpinggir dan kecewa.

Garapan kemas kesemua elemen dalam filem tersebut membuatkan TAD2 mudah diterima khalayak bukan kerana bergantung pada kekuatan populariti pelakon tetapi disebabkan skrip yang dipersembahkan secara santai dan menghiburkan.