Teater karya Amar Amir yang akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 2 September ini dilakonkan oleh barisan pelakon hebat seperti Mei Fen Lim, Aeril Zafril, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.

Menurut Aeril, dirinya begitu teruja untuk beraksi di pentas Istana Budaya.

“Perasaan untuk kali kedua ke pentas Istana Budaya yang berprestij ini tetap sama iaitu rasa teruja dan gementar.

“Namun, kerana kali ini bekerjasama dengan tenaga kerja anak-anak muda yang berjiwa besar, saya rasa lebih bersemangat untuk menyahut cabaran ini,” katanya.

Fen Lim pula berkata, idea untuk pementasan cerita ini diambil dalam persekitaran Aswara sendiri.

“Persekitaran majmuk di kampus ini memberikan pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang diidamkan.

“Di Aswara, kepelbagaian budaya diraikan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk memahami budaya asing tanpa perlu meninggalkan akar budaya masing-masing,” ujarnya.

Tanah Akhirku mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng.

Yue Feng lari daripada perang saudara di China bersama adiknya untuk mencari kehidupan baharu.

Mereka kemudian bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap. Dengan ketidakstabilan politik dan pentadbiran pada ketika itu antara pembesar istana, pihak British dan juga pengusaha lombong, tidak ada langkah mudah untuk meneruskan hidup bagi pekerja-pekerja lombong di situ.

Yue Feng pula semakin jatuh hati dengan Tanah Melayu yang sudah dianggap sebagai tanah airnya sendiri. Cintanya juga turut mekar terhadap seorang lelaki Melayu.

Tanah Akhirku yang mendapat sentuhan daripada pengarah, Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi akan dipersembahkan dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris.

Orang ramai yang ingin menyaksikan sebuah naskhah yang kaya dengan semangat patriotisme menerusi teater ini boleh mendapatkan tiket pada harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 yang boleh dibeli secara online melalui http://airasiaredtix.com yang bermula sejak 13 Julai lalu.