Kata Naque, 27, dia menafikan hanya bersetuju menerima tawaran mengarah setelah diberikan bayaran yang setimpal. Sebaliknya, dia lebih memikirkan tanggungjawab sebagai alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebudayaan (Aswara).

“Saya kasihan kepada produksi ini sebab mereka kurang pertolongan dari sudut pengarahan. Saya sedar pengarah saat akhir tetapi tahu kenapa mereka cari saya. Mereka juga kenal saya.

“Setakat ini saya belum menerima sebarang bayaran dan saya dahulukan apa yang perlu didahului. Kemudian, baru kami akan berbincang lebih lanjut,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pelakon utama teater berkenaan di Istana Budaya baru-baru ini.

Bertuah

Tambahnya lagi, dia berasa bertuah kerana diberi peluang mengarah sebuah teater yang akan dipentaskan di pentas berprestij, Istana Budaya.

“Orang mungkin tidak berapa mengenali diri saya kerana saya bukan pengarah komersial seperti orang lain. Namun, apa yang boleh saya janjikan, teater ini akan membuatkan lebih ramai orang bersyukur hidup di Malaysia dalam keadaan aman damai walaupun dihuni pelbagai bangsa.

“Ingin juga saya ingatkan, ini bukan teater muzikal seperti teater komersial lain. “Apa yang ingin saya jual adalah permainan emosi yang mendalam melalui lontaran dialog yang mengesankan daripada para pelakon,” jelas Naque yang baru menamatkan Ijazah Sarjana Seni Urban dan Industri Budaya di Institut Kesenian Jakarta hujung Julai lalu.

Naque pernah terbabit untuk belakang tabir program hiburan seperti Duo Star dan On Air selain pernah menjadi pengarah seni lakon Asyraf Sinclair untuk drama bersiri Do[S]a.

Sementara itu, Aswara telah memperuntukkan dana khas untuk teater tersebut walaupun dalam kekangan kewangan semasa kerana ingin melihat pelajarnya berkeyakinan dan karya setanding karya profesional luar Aswara.

Dana Aswara

Rektor Aswara, Profesor Datuk Ir Dr. Mohd Rizon Juhari mendedahkan, Aswara bersetuju memperuntukkan dana sebanyak RM150,000 untuk menjayakan teater tersebut.

“Walaupun dalam kekangan kewangan semasa, Aswara mahu melihat pelajar berkeyakinan dan karya mereka setanding dengan karya profesional dalam industri.

“Peluasan seni dan budaya adalah satu agenda utama Aswara dengan mencungkil bakat pelajar sekolah yang meminati bidang seni memasuki Aswara pada peringkat diploma atau ijazah,” katanya.

Pihak produksi teater pernah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan tajaan, sejak awal tahun ini.

Tanah Akhirku yang dibintangi oleh Aeril Zafrel dan Mei Fen Lim sebagai teraju utama turut membariskan Erma Fatima, Izzue Islam, Angeline Tan, Nina Nadira termasuk pelajar Aswara sendiri.

Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng. Yue Feng dan adiknya, lari daripada perang saudara di China dan mencari kehidupan baharu di Tanah Melayu.

Mereka bekerja di lombong biji timah yang dikuasai oleh kongsi gelap Cina. Ketidakstabilan politik pada masa penjajahan British itu membuatkan kehidupan yang dilalui pada awalnya agak sukar.

Lama-kelamaan cintanya terhadap Tanah Melayu semakin menebal, apatah lagi dia jatuh hati dengan seorang pemuda Melayu. Yue Feng akhirnya memutuskan Tanah Melayu sebagai tanah akhirnya.