Versi terbaharu Star Wars: The Last Jedi merupakan kesinambungan trilogi Star Wars: The Force Awakens yang menemui audiens pada tahun 2015.

Johnson selaku pengarah dan penulis skrip dilihat berjaya menjadikan edisi terbaharu buah fikiran George Lucas sebagai antara yang terbaik untaian cereka fiksyen Star Wars.

Pengarah Looper itu turut membuai perasaan audiens mendekati konflik kuasa baik Resistance yang dipimpin Jeneral Leia Organa (Carrie Fisher) menentang kejahatan First Order pimpinan anaknya, Kylo Ren (Adam Driver) dan Snoke (Andy Serkis).

Biarpun, filem terbaharu itu berdurasi kira-kira dua jam 30 minit, Johnson bijak mengawal emosi audiens dalam garapan cerita dengan menyelitkan elemen kejutan, humor, peperangan, konflik keluarga, pengorbanan dan setia kawan.

Bahkan, audiens yang terpaksa menunggu sehingga dua tahun selepas menonton plot-plot tergantung dalam filem Star Wars: The Force Awakens dapat merungkai pelbagai persoalan melalui naskhah Johnson ini.

Ia termasuk watak utama Rey (Daisy Ridley) yang mencari identiti dan ingin mendalami kuasa serta dunia Jedi.

Pada penghujung filem Star Wars: The Force Awakens, audiens tertanya-tanya apa yang bakal berlaku apabila Rey mengembara ke sebuah pulau terpencil mencari Mahaguru Luke Skywalker (Mark Hamill) untuk membimbingnya memahami kuasa Jedi.

Begitupun, dalam edisi kelapan ini, adakah Skywalker akan membantu Rey memahami kuasa Jedi yang menghantui dirinya. Ia berikutan Mahaguru tersebut hanya ingin menyendiri dan menemui ajal di pulau berkenaan.

Di sebalik konflik dua figura utama itu, filem berkenaan turut menyelami isi hati Skywalker yang ingin meninggalkan terus dunia Jedi disebabkan kegagalan membimbing Kylo Ren sehingga terjebak dalam dunia kejahatan.

Johnson turut bermain dengan perasaan dan meninggalkan persoalan kepada audiens apabila acap kali memperlihatkan Kylo Ren dan Rey berhubung antara satu sama lain tanpa perlu bertentang mata.

Dalam edisi kelapan ini, Johnson masih mengekalkan tradisi francais Star Wars, dengan menggandingkan pelakon-pelakon baharu dan lama dalam menyuntik nilai sentimental terutama kepada peminat tegar jenama tersebut.

Antara gandingan pelakon Star Wars: The Last Jedi ialah Hamill, Ridley, Oscar Isaac, John Boyega, Fisher, Driver, Benicio del Toro, Serkis dan Kelly Marie Tran.

Secara keseluruhan, Star Wars: The Last Jedi tidak menghampakan audiens terutama peminat-peminat tegar Star Wars. Garapan filem yang tidak terlalu celaru dengan kesan khas menarik menjadikan ia antara filem terbaik pada tahun ini.

Penggemar filem Star Wars di negara ini juga boleh menerokai pengalaman dunia fantasi Star Wars: The Last Jedi dengan mengunjungi Lightspeed Lounge di TGV Cinemas, Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur hingga 31 Disember nanti.