Namun, itu bukan penghalang buat pelakon muda Alden Ehrenreich ‘memberanikan’ diri menerima cabaran itu apabila membawa watak popular Han Solo dalam naskhah prekuel Star Wars, Solo: A Star Wars Story. Watak tersebut selama ini dipegang oleh aktor hebat, Harrison Ford.

Sejak ia mula ditayangkan di seluruh dunia awal Mei lalu, naskhah tersebut telah dihujani dengan pelbagai respons daripada penonton.

Satu hal yang cukup baik dan dilihat menyebelahi naskhah terbitan syarikat Lucasfilm itu adalah rata-rata peminat menyifatkan ia sebagai karya prekuel terbaik Star Wars.

Meskipun berdepan cabaran besar apabila pemilihannya sebagai Han Solo pernah dipertikai, namun Ehrenreich berjaya menterjemahkan jelmaan watak tersebut dengan berkesan tanpa terikat dengan karakter Ford.

Peminat menyifatkan pelakon berusia 29 tahun itu berjaya menjelmakan semula watak tersebut dengan cara tersendiri tetapi pada masa sama tetap mampu ‘meniru’ gaya tertentu Han Solo yang pernah dilakukan Ford terutama daripada gaya senyuman sinis.

Naskhah arahan Ron Howard itu mengisahkan tentang pengembaraan Han Solo pada usia muda dalam mengejar impian bergelar juruterbang pesawat.

Dalam misinya mengejar impian, dia turut terikat dengan janji untuk melepaskan kekasihnya, Kira (Emilia Clarke) yang gagal melarikan diri dari Corellia.

Tragedi

Jika menyentuh tentang konsep penceritaan, plot disusun kemas dan teratur bermula daripada kisah perjalanan Han Solo sehingga membawa kepada beberapa siri tragedi seperti pertemuannya dengan Beckett (Woody Harrelson) dan Lando Calrissian (Donald Glover) serta Kira.

Sepanjang cerita, naskhah ini banyak menonjolkan babak aksi yang menarik sama seperti beberapa siri sekuel Star Wars.

Pertemuan pertama kali Han Solo dengan beberapa watak lain dalam filem ini menonjolkan pelbagai sisi berbeza, antaranya watak Beckett yang merupakan seorang ketua kumpulan perompak.

Muncul sepanjang jalan cerita, watak Beckett diterjemahkan sempurna biarpun pada akhirnya berlaku pertukaran plot tentang karakternya.

Begitu juga dengan kewujudan watak Lando Calrissian yang pada awalnya kelihatan begitu dingin tetapi mempunyai peranan yang besar dalam membantu kembara Han Solo.

Namun, naskhah yang menelan belanja sebanyak RM1 bilion itu mengandungi susunan perubahan plot yang tidak dijangka pada akhir cerita dan ia menjanjikan debaran sehingga ke minit terakhir filem.

Pun begitu, entah di mana silap biarpun menerima banyak kritikan membina daripada peminat, namun kutipan tayangan naskhah tersebut tidak begitu rancak kerana sehingga kini ia hanya mencatat sebanyak RM836 juta berbanding bajet modal yang jauh lebih tinggi dikeluarkan.

Berdasarkan beberapa laporan portal luar negara, situasi itu mungkin disebabkan oleh pertembungan dengan beberapa buah naskhah besar seperti Deadpool 2 dan Avengers: Infinity War yang kini sedang mendominasi pawagam di seluruh dunia.