Pertandingan SNPS adalah sebuah program seisi keluarga yang dianggap sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri Selangor bagi melahirkan generasi memiliki semangat nasionalisme yang tinggi.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd. Azizi Mohd. Zain, aktiviti yang boleh disertai semua lapisan masyarakat tersebut juga mampu memupuk semangat nasionalisme yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Kita hidup pada zaman yang menyaksikan isu perkauman sering menjadi topik sensasi, jadi amat penting untuk kita mengadakan program sebegini agar rakyat kembali mengenang erti perpaduan dan penyatuan.

“Lagu patriotik menyedarkan orang ramai untuk cintakan negara. Apabila seseorang cintakan negara, mereka akan berjuang bersungguh-sungguh untuk tanah air tidak kira sama dari aspek sukan atau kebudayaan,” kata Mohd. Azizi pada sidang akhbar SNPS 2018 di ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor baru-baru ini.

Sejajar dengan matlamat kerajaan negeri Selangor untuk mengangkat Kota Seni Petaling Jaya dengan lebih gemilang, MBPJ dipilih selaku tuan rumah untuk pertandingan tahun ini.

SNPS 2018 dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Lebih semangat

Sementara itu, juri tetap SNPS, Jojie Aminuddin yang telah mengikuti penganjuran pertandingan berkenaan sejak tahun lepas berharap, sambutan bagi edisi kedua akan lebih hangat dan semangat peserta yang bertanding pula dua kali ganda membara berbanding musim sebelumnya.

Jojie yang juga pengurus Ratu Rock negara, Ella Aminuddin turut menekankan, SNPS bukan sekadar menekankan kelebihan vokal tetapi jiwa patriotisme penyanyi sewaktu persembahan.

“Anak-anak muda sekarang lebih banyak mengagungkan lagu-lagu Barat dan tidak mengenali karya-karya patriotik yang memiliki nilai sentimental berhubung kemerdekaan negara.

“Semoga dengan adanya pertandingan seperti SNPS 2018 akan menjadi titik perubahan agar 
lagu-lagu patriotik turut diangkat seperti karya-karya komersial lain,” jelas Jojie yang bakal disertai komposer Korie Aminuddin dan guru vokal, Sarah Ismail di kerusi juri.

Peringkat saringan SNPS 2018 
akan berlangsung selama dua hari berturut-turut mulai esok.

Empat peserta terbaik bagi setiap kategori akan melangkah ke peringkat akhir pada 22 September di Dewan Sivik MBPJ. Malam pertandingan SNPS 2018 turut akan diserikan dengan kemunculan penyanyi Azharina Azhar, Korie, Dylea dan Fauzi Yusoff.