Banyak filem tempatan yang memerlukan perhatian untuk diuar-uarkan kepada orang ramai seperti One Two Jaga, Langsuir dan Paskal, namun itu tidak bermakna naskhah antarabangsa sehebat Searching arahan sutradara, Aneesh Chaganty harus dibiarkan berlalu sahaja tanpa dibicarakan bersama khalayak.

Sebagai peminat genre atau suspens, penulis amat kagum dengan lakon layar, visual serta suntingan yang dipaparkan dalam Searching. Keseluruhan karya dipersembahkan terhadap audiens melalui skrip komputer, televisyen litar tertutup (CCTV) dan telefon pintar yang pada mulanya kedengaran agak mustahil, namun dilunaskan Chaganty dengan cukup cemerlang.

Biarpun ada yang menyamakan Searching seperti karya berjudul Gone Girl, namun secara peribadi penulis berpendapat ia mempunyai resipi dan rencah tersendiri yang besar kemungkinan bakal membawa pulang sesuatu daripada kategori lakon layar atau suntingan dalam Academy Awards edisi akan datang.

Naratif filem berkenaan agak mudah. Ia berkisar tentang seorang bapa yang dalam misi mencari anak perempuannya yang hilang tanpa berita. Mujurnya, si bapa mahir menggunakan media sosial dan memiliki ilmu penyiasatan yang hebat.

Plot Searching juga diadun cermat. Sepanjang menonton, tidak pernah sekali tumpuan penulis hilang dari arah skrin layar kerana plot twist (lencongan) yang dihidangkan bukan biasa-biasa dan buat audiens yang merasakan diri ligat dalam memberi jangkaan, anda akan ‘tewas’ dek penangan naskhah berkenaan.

Lencongan plot

Beberapa kali penulis meneka klimaks ataupun penyudah karya ini, namun tersasar. Itu adalah kualiti sebuah filem yang bagus dan semestinya membuatkan audiens terpaku tepat pada skrin panggung sepanjang tayangan.

Seperkara lagi, Searching dihasilkan dengan bajet kecil, namun hasil kerjanya amat teliti dan boleh disifatkan sebagai filem yang disempurnakan semaksimum habis. Biarpun segelintir audiens mahupun pengkritik filem melabelkan ia sebagai underated, kepuasan penonton pasti terjamin dengan memilih filem berkenaan di pawagam.

Menyentuh soal lakonan, John Cho yang menterjemah watak si ayah bernama David Kim terus melebarkan kredibilitinya lebih meluas daripada kepompong karakter komedi sinonim dengan dirinya menerusi francais filem, Harold & Kumar.

Sebagai penonton, penulis tidak pernah gagal meletakkan diri dalam posisi Kim yang sentiasa memberi komitmen 100 peratus bagi menyelesaikan misteri kehilangan anaknya, Margot.

Satu persatu konflik dikupas dengan tertib, sekali gus membuatkan jarang benar tumpuan audiens tergugat daripada mana-mana ‘bendasing’ yang selalunya wujud dalam penceritaan sesebuah filem.

Secara keseluruhan, buat penonton yang tercari-cari judul suspens segar atau lain daripada lain, Searching mungkin ada jawapan. Secara peribadi, ia antara filem terbaik yang pernah menjengah pawagam tahun ini biarpun ia merupakan sebuah naskhah thriller!