Banyak elemen harus dititikberatkan untuk menjadikan sesebuah karya itu nampak logik di mata penonton tanpa meminggirkan rencah menarik dan mendebarkan.

Memilih aktor bersesuaian dan bagus juga antara magnet yang mampu mengangkat sesebuah filem itu berjaya.

Pengarah filem J Revolusi, Zulkarnain Azhar, berani mengambil risiko itu dengan menghasilkan filem mengenai jenayah siber untuk filem terbaharunya.

Memberi judul Proksi, kisah seorang penggodam bernama Aman (Ashraf Sinclair) dan rakannya, Sam (Bront Palarae) yang berusaha menyelamatkan data dan maklumat rahsia negara daripada ancaman siber, Zulkarnain tidak sambalewa menghasilkan filem tersebut.

Jika di Malaysia ia dianggap baharu, namun di Hollywood misalnya, filem mengenai jenayah siber banyak yang berjaya menjentik hati penonton. Antaranya Hackers (1995), Johnny Mnemonic (Keanu Reeves), Enemy of the State (Will Smith), Antitrust (Ryan Phillippe), Minority Report (Tom Cruise) dan Paycheck (Ben Affleck).

Maka untuk filem Proksi, Zulkarnain turut melengkapkan diri dengan mendalami ilmu berkaitan program keselamatan siber termasuk mendapatkan khidmat daripada penggodam sebenar.

“Proksi merupakan filem pertama di Malaysia yang mengetengahkan kisah thriller siber. Maka, saya terpaksa membuat rujukan mengenai penggodam, malah turut bekerjasama dengan beberapa orang penggodam dan juga pihak keselamatan siber,” ujarnya mengenai filem yang turut menggunakan teknik penjanaan komputer, bagi memberi ‘roh’ kepada filem berkenaan.

Sedar bukan mudah untuk menghasilkan filem mengenai jenayah siber, Zulkarnain tidak gentar untuk meneruskan impiannya itu.

“Memang cukup mencabar untuk menghasilkan filem yang benar-benar dapat meyakinkan penonton mengenai jenayah siber. Namun, disebabkan isu itu sedang berlaku dan tidak ramai yang tahu tentangnya, saya fikir filem Proksi akan mendedahkan segala-galanya. Kalau nak tahu, jenayah siber ini paling berbahaya di dunia kerana mereka mampu mendapat pulangan duit sehingga AS$1 trilion (RM3.8 trilion). Malah, mereka dapat melarikan diri tanpa dapat dikesan pihak berkuasa,” jelasnya yang bersyukur kerana mendapat pelakon-pelakon yang diinginkan untuk membintangi filem Proksi.

Filem yang bakal ditayangkan pada hujung tahun ini, membariskan bintang-bintang handalan negara seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Siti Saleha, Ashraf Sinclair, Bront Palarae, Remy Ishak, Sangeeta Krishnansamy dan Susan Lankester.

Sangeeta teruja

Sementara itu, menurut salah seorang pelakon utama Proksi iaitu Sangeeta, dia cukup teruja dan pada masa sama gementar menggalas watak Elle dalam filem aksi tersebut.

“Saya bawa watak sebagai ejen keselamatan siber yang ditugaskan untuk mengawasi Ashraf dan Bront dalam misi menyelamatkan negara. Tetapi persoalannya adakah Elle boleh dipercayai?” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam filem tersebut, Sangeeta menyifatkan cabaran yang diterima menerusi watak Elle membuatkan dia tidak melepaskan peluang membintangi filem berkenaan.

Tambahan pula, Sangeeta ingin memesongkan perhatian khalayak yang masih likat mengingatinya menerusi watak cikgu Cheryl dalam filem Adiwiraku. Filem itu juga melayakkan pelakon tersebut menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) serta Anugerah Pengkritik Filem pada tahun lalu.

“Watak Elle iaitu seorang pegawai jenayah siber sangat mencabar dan seratus peratus berbeza dengan watak cikgu yang pernah saya bawakan sebelum ini. Saya terpaksa melalui sesi latihan dengan koreografer dari Thailand untuk babak aksi,” ujarnya.

Jelas Sangeeta lagi, filem itu juga memberikan kepuasan kepadanya memandangkan ia turut mengangkat mesej positif mengenai jenayah siber.

“Semoga penonton dapat pengetahuan tentang jenayah siber dan betapa ia sangat serius sedang melanda kita,” ujarnya.