Bersiaran sejak 14 Mei lalu, menariknya rancangan yang ditayangkan setiap hari pada pukul 6 petang itu turut mengundang lapan orang selebriti dari negara ini sebagai tetamu undangan.

Mereka ialah Khai Bahar, Elyana, Mark Adam, Achey, Shiha Zikir, Arja Lee, Zarina Zainuddin dan Ifa Raziah.

Bertemu dengan dua panel penceramah dan seorang pengacara ketika sesi promosi Islam Itu Indah di Malaysia baru-baru ini, Muhammad Nur Maulana atau mesra dengan gelaran Ustaz Maulana, dia ceria berkongsi tentang program yang diasaskannya sejak tahun 2011 itu.

“Alhamdulillah tayangan untuk rancangan ini dikembangkan lagi ke Malaysia. Menariknya, untuk tayangan di sini kami turut menampilkan barisan artis popular negara ini sebagai artis undangan.

“Di Indonesia, penampilan mereka mendapat sambutan menggalakkan. Semua penonton di sana sentiasa menantikan siapakah selebriti dari Malaysia yang akan di jemput dalam setiap episod yang ditayangkan,” katanya membuka bicara.

Diajak berkongsi lanjut tentang program tersebut, ujar Maulana dia bersyukur kerana rancangan yang pada awalnya ditayangkan cuma tiga hari dalam seminggu itu kini menjadi program keagamaan pertama di negara jiran.

Kongsinya, pendekatan unsur humor serta isi kandungan dalam setiap ceramah yang disampaikan menjadi tarikan utama untuk penonton kekal melekat dengan program ini selama tujuh tahun.

“Pada awalnya saya sendiri mengendalikan rancangan ini. Masuk tahun ketiga baru ada pelakon Akhmad Fadli yang bertindak sebagai pengacara.

“Pada tahun keempat pula, kami menampilkan Oki Setiana Dewi dan kemudian terus menampilkan beberapa penceramah lain untuk menghidupkan rancangan ini. Sehingga kini, kami mempunyai 15 orang penceramah yang akan bergilir-gilir bertugas untuk setiap episod,” kongsinya panjang lebar.

 

Rujukan

Dalam pada itu, Muhammad Ashari Ahyani pula berkata setiap kandungan yang dibahaskan dalam rancangan berkenaan mendapat kelulusan daripada Kementerian Agama Republik Indonesia.

Malah, mereka juga akan mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali selepas bersiaran untuk menilai semula kekurangan yang berlaku seterusnya memperbaiki kelompongan tersebut.

“Pihak kementerian akan memantau isi kandungan untuk memastikan ia layak dibincangkan. Kami juga mengambil masa enam bulan lebih awal untuk memikirkan tajuk yang sesuai untuk setiap episod.

“Sukar untuk memikirkan tajuk yang sesuai kerana masyarakat sekarang sangat bijak. Jika kami berikan satu tajuk umum, mereka akan bertanya sehingga ke akar umbi kerana terdapat segmen interaksi bersama penonton di rumah.

“Kami merujuk kepada mazhab Imam Syafie untuk hal-hal berkaitan fikah dan tidak akan menyinggung hal berkaitan politik kerana tugas kami adalah untuk memberi motivasi kepada penonton agar terus meningkatkan amal ibadah,” kongsinya seraya menutup kata.