Tetapi bagaimana pula sekiranya sebaliknya berlaku?

Adakah kamu dapat menerima kenyataan itu dengan hati pasrah atau sanggup melakukan apa sahaja termasuk meminta pertolongan bomoh semata-mata mahu menakluki hati si dia.

Mungkin pada era kini persoalan ini kedengaran agak kolot tetapi sebenarnya ia masih lagi berlaku dan melingkari segelintir masyarakat kita.

Menggunakan taktik kotor demi sebuah cinta dan akhirnya banyak pihak terseksa. Itu antara inti pati yang diangkat dalam sebuah telemovie terbaharu, Hamba Iblis arahan pengarah tersohor, Razaisyam Rashid.

Berkongsi mengenai serba sedikit mengenai Hamba Iblis, Razaisyam menyifatkan naskhah itu sebagai sebuah cerita ‘gelap’.

“Ia sebuah kisah seram tetapi saya mengambilnya daripada perspektif cinta yang mana orang akan buat apa sahaja demi meraihnya,”ujarnya.

Membariskan pelakon hebat tanah air seumapamanya Siti Saleha, Ameerul Affendi, Nam Rom dan ramai lagi, naskhah yang mempunyai mesej tersendiri ini wajib ditonton khususnya peminat drama tempatan.

Hamba Iblis mengisahkan tentang Tahir (Ameerul Affendi) yang sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan Aishah (Siti Saleha).

Dengan bantuan kawan baiknya, Malik (Ken Ridzuan), Tahir mendapatkan khidmat Tok Bomoh (Mior Hashim Manap).

Setelah menunaikan permintaan Tok Bomoh supaya setiap malam bulan mengambang, jin yang digunakan untuk mendapatkan Aishah hendaklah dijamu dengan darah haid, akhirnya hasrat Tahir tercapai.

Setelah setahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak, Anis (Nurul Hikmah), Tahir sekali lagi mendapatkan khidmat Tok Bomoh.

Pada masa sama pula, bekas kekasih Aishah, Halim (Nam Ron) baru pulang ke kampung setelah enam tahun menghilangkan diri dan selepas itu, bermula satu per satu konflik dan penemuan sebuah jawapan.

Mengulas lanjut, Razaisyam memberitahu penggambaran naskhah ini dilakukan di Perak dengan berlatar belakang tahun 1990-an.

“Kita lakukan penggambaran di luar bandar. Kita mahu mengukuhkan lagi jalan cerita ini kerana tidak boleh terlalu mengaitkan orang bandar dengan perkara tersebut.

“Di bandar orang sudah tidak percaya dengan bomoh atau sihir tetapi di pedalaman, kebanyakan anggota masyarakat masih yakin dengan tahyul dan ada yang masih menggunakan taktik kotor iaitu ilmu hitam untuk mendapatkan cinta,” jelasnya yang turut berharap agar penonton terhibur selain dapat menghayati kesengsaraan setiap watak dalam naskhah arahannya itu.

Sementara itu, Ameerul tidak menafikan watak tersebut mencabar dirinya memandangkan ini kali pertama dirinya memegang watak utama untuk sebuah naskhah bergenre seram.

“Saya rasa agak mencabar dan antara yang sukar adalah dari segi ekspresi muka yang mana saya perlu buat muka terkejut, takut dan sebagainya.

“Bagaimanapun, saya ada menonton filem Pengabdi Setan sebagai salah satu rujukan,” jelasnya.

Ingin tahu apa penyudahan nya? Jangan lupa saksikan Hamba Iblis yang akan menemui penonton pada 31 Mac ini menerusi slot Citra Ekslusif di Astro Citra saluran 131 dan Mustika HD saluran 134 pada pukul 9.00 malam.