Masakan tidak, menampilkan wajah-wajah baharu sebagai peneraju, filem arahan Syed Khairul Fariz itu ‘menjual’ genre romantik serta kisah pemuzik jalanan atau busker.

Bakal ditayangkan pada 11 Januari depan, filem yang dibintangi pelakon-pelakon muda seperti Hafeez Mikail, Daiyan Trisha, Nas Ridzuan, Bulan, Mas Khan dan Lia Natalia itu bukan sahaja sebuah filem romantik biasa, namun mempunyai identiti serta kualiti yang tersendiri.

Filem yang tamat penggambaran akhir tahun lalu tersebut juga turut diserikan dengan beberapa penampilan khas seperti Loque, Man Bai, Luqman Hafidz, Elizabeth Tan, Aziz M Osman, Jihan Muse, Mark Adam, Zain (Ruffedge) dan Altimet.

Menjalani penggambaran selama sebulan, melibatkan 90 peratus lokasi di Johor Bahru, Khairul selaku pengarah berkata, penggambaran berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kami mendapat kerjasama yang sangat baik daripada seluruh pelakon dan kru produksi. Filem Busker ada beberapa elemen menarik untuk ditonton.”

“Kami memilih Johor kerana ingin meneroka tempat-tempat menarik yang ada dan tampilkan ke layar perak. Malah, jarang filem menampilkan lokasi-lokasi di Johor seperti Kilang Bateri yang popular. Jadi ia sesuatu yang baharu,” kata pemenang Anugerah Seri Angkasa 2016 menerusi kategori Komedi TV Terbaik itu.

Risiko

Mengulas tentang risiko yang bakal dihadapi kerana mengetengahkan elemen ‘bukan makanan’ rakyat Malaysia, Khairul melihat sudut tersebut sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi.

“Saya mengharapkan penerimaan yang terbaik daripada penonton tempatan. Sambutan terhadap filem-filem tempatan tidak menentu pada masa kini. Bahkan, bersaing dengan filem-filem antarabangsa di pawagam bukan satu perkara yang mudah,” jelas pengarah drama Jodoh 2 dan Keluarga Iskandar itu.

Berbeza dengan filem terbitan Astro Shaw sebelum ini, Busker dihiasi 21 buah lagu yang terdiri daripada karya baharu dan lagu khas untuk filem ini.

Lagu tema utama filem ini adalah Atma Jiwa nyanyian Simfoni Dalam Poket manakala lirik dan muzik dihasikan oleh Loque.

Antara lagu baharu lain yang ditampilkan dalam filem berkenaan termasuklah Mogok Tenteram, Semak, Selamat Tinggal Kekasih Lama, Jelingannya, Malas Nak Layan, Kupu-Kupu Malam, Doa Untuk Kekasih dan Teka Teki Teka Tekok.

Tidak ketinggalan, filem ini turut menampilkan lagu yang disusun semula seperti Doa Untuk Kekasih, Slumber, Alamak dan Ali Malas. Sebanyak 15 lagu akan dimuatkan ke dalam album dan ia boleh didapati menerusi Spotify, Joox, Yonder dan iTunes.

Bertindak sebagai pengarah muzik, Loque berkata, dia teruja diberi peluang sedemikian sekali gus memberi sesuatu terhadap kemajuan pemuzik busker tempatan.

“Secara realiti, ramai pemuzik busker tempatan yang berbakat. Jika diberi peluang yang sewajarnya, mereka mampu bersaing dengan artis-artis yang berada dalam industri.

“Selain mengarah muzik, saya juga berlakon dalam filem ini. Memang satu pengalaman yang mengujakan dan saya berharap penonton dapat meluangkan masa untuk mengikuti kisah ini di pawagam bermula 11 Januari ini,” kata Loque.