Maka tidak hairanlah drama tersebut menerima pelbagai anugerah di negara terbitannya, Korea Selatan selain pernah diadaptasi di beberapa buah negara di Asia termasuklah China, Thailand, Filipina, Vietnam dan Turki.

Bagaimanapun, drama bergenre komedi romantik itu sekali lagi dibawakan khas kepada penonton di negara ini. Cuma, bezanya, kali ini, drama tersebut didatangkan dalam bentuk versi tempatan berjudul Alamatnya Cinta yang diadaptasi daripada karya asal arahan sutradara, Pyo Min-soo itu.

Semestinya, drama yang disiarkan di saluran Astro Ria itu antara yang dinanti-nantikan terutamanya bagi mereka yang merupakan pengikut setia karya asal drama tersebut sebelum ini.

Menariknya, drama terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu menampilkan barisan pelakon yang cukup popular antaranya, Hisyam Hamid, Hannah Delisha, Jasmine Suraya, Fahad Iman, Cik Manggis dan Alicia Amin sebagai individu yang menjayakan naskhah tersebut.

“Hannah Delisha memang antara muka baharu yang sedang meningkat naik. Bahkan, kita juga sengaja memilih pendatang baharu dalam industri bagi menjadikan karya ini sebagai sesuatu yang segar. Sekurang-kurangnya, penonton tidak jemu apabila asyik muka yang sama sahaja,” kata penerbit eksekutifnya, Zetty Alia Ramly ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Lebih menarik, drama tersebut juga diarahkan oleh tiga orang pengarah berbeza iaitu Bernard Chauly, Feroz Kader dan Farid Ramlee.

Biarpun merupakan karya adaptasi, jelas Zetty Alia, drama bersiri 24 episod itu diolah mengikut kesesuaian dengan penerimaan budaya masyarakat di negara ini.

“Sewaktu drama Full House ditayangkan, perkembangan media sosial belum lagi berlaku. Jadi, ada beberapa watak yang kita cuba kembangkan supaya ia dapat disesuaikan dengan tontonan generasi kini agar mesej yang ingin disampaikan itu mengikut perkembangan semasa.

“Atas sebab itu ada beberapa watak yang kita kembangkan dalam Alamatnya Cinta seperti watak lakonan Jasmine Suraya berbanding karya asal,” kongsinya.

Drama bersiri Alamatnya Cinta mengisahkan wanita bernama Ellie lakonan Hannah yang telah mewarisi sebuah rumah pusaka peninggalan arwah bapanya. Bagaimanapun, Ellie kemudian mengetahui bahawa rumah tersebut dijual kepada seorang selebriti popular iaitu Faliq Assad (Hisyam Hamid).

Bagaimanapun, berlaku salah faham mengenai hubungan mereka kerana ramai yang membuat andaian mereka berdua menjalinkan hubungan skandal.

Bagi menamatkan spekulasi tersebut sekali gus mendapatkan semula hak beliau ke atas rumah peninggalan itu, Ellie terpaksa berkahwin secara kontrak dan bekerja dengan Faliq sebagai pembantu rumah.

Drama Alamatnya Cinta turut menampilkan beberapa nama besar lain termasuklah, Dian P. Ramlee, Datuk Seri Shah Rezza dan Azhar Sulaiman dan Yusry Abdul Halim.