Sepanjang 90 minit filem berlangsung, boleh dikira dengan jari hanya berapa kali dialog dilontarkan oleh barisan pelakonnya. Selebihnya, hanya menggunakan bahasa tubuh dan reaksi wajah sebagai pengganti dialog, sementelah isi filem ini melarang watak-wataknya membikin sebarang bunyian jika ingin terus hidup.

Jika membuat sebarang bunyi, terdapat makhluk aneh persis dinosaur yang buta tetapi mempunyai deria pendengaran hebat akan mengejar dan membunuh anda.

Bagaimanapun tidak pula diceritakan secara terperinci bila, mengapa dan kenapa makhluk aneh itu berada di bumi. Dalam filem ini ia menggambarkan seluruh sistem normal di bumi telah musnah. Ia bukan sekadar menyerang Amerika Syarikat tetapi seluruh dunia.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, manusia harus mengelak daripada membuat bunyi, hatta batuk dan bersin. Mereka yang hidup harus menyesuaikan diri dengan keadaan semasa iaitu kehidupan tanpa sebarang bunyian.

Tanpa sebarang dialog, John Krasinski bijak memulakan filem ini dengan teknik imbasan bagaimana kehidupan satu keluarga yang terdiri daripada pasangan suami isteri, Lee (John Krasinski), Evelyn (Emily Blunt), Regan (Millicent Simmonds), Marcus (Noah Jupe) dan Beau (Cade Woodward) pada peringkat awal kehadiran makhluk aneh itu di bumi.

Kejadian yang meragut nyawa anak bongsu mereka, Beau hanya kerana bunyi yang dihasilkan oleh sebuah kapal terbang mainan sudah cukup untuk menerangkan keadaan yang menghantui kehidupan mereka sekeluarga. Perjalanan filem ini bertambah tegang apabila Evelyn hamil dan sedang menanti hari untuk melahirkan anak.

Konflik

Kehadiran bayi tersebut bakal menggubah pola kehidupan stabil keluarga mereka. Bayangkan seorang wanita terpaksa melahirkan anak secara sendirian tanpa sebarang kelengkapan perubatan dan mereka juga harus memikirkan cara untuk ‘mendiamkan’ bayi yang baru dilahirkan itu.

Itu belum dicampur dengan konflik antara Lee dan anak perempuannya Regan yang mempunyai masalah pendengaran. Biarpun begitu, Regan merupakan anak yang cukup berani dan bijak. Dilihat sering memberi masalah kepada keluarganya tetapi pada akhirnya jawapan yang dicari oleh bapanya selama ini ada pada Regan.

Apa yang menariknya, Simmonds yang memegang watak Regan itu sebenarnya seorang yang cacat pendengaran di luar filem. Walaupun cacat pendengaran dia berjaya memberi lakonan yang cukup cemerlang. Barangkali kerana itu juga kesemua pelakon tidak kekok menggunakan bahasa isyarat dalam filem ini.

Melengkapkan lagi filem ini adalah keserasian antara watak pasangan suami isteri yang dipegang oleh Krasinski dan Blunt. Mereka yang juga pasangan suami isteri di luar layar perak memberi lakonan yang cukup berkesan. Tanpa perlu dipaksa, penonton secara automatik akan merasai cinta pasangan ini.

Secara keseluruhan, A Quiet Place sebuah karya seram yang bijak dan segar. Boleh dikatakan ia gabungan antara dua buah filem serentak iaitu Get Out dan Jurassic Park.

Apa yang pasti adrenalin anda akan meledak dalam beberapa babak biarpun tanpa aksesori klasik sebuah filem seram iaitu jeritan. Syabas buat Krasinski kerana dia tidak hanya menjual filem seram dengan elemen kejutan tetapi disulami turun naik emosi setiap wataknya dan nilai kasih sayang sebuah keluarga.

Filem A Quiet Place boleh dikategorikan sebagai sebuah filem seram terbaik yang pernah ditonton penulis.