Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 45, mereka sudah pun membawa haluan masing-masing namun masih tetap berhubung sebagai rakan.

“Kalau ikutkan dahulu memang kami ada perancangan tersendiri untuk bahagia bersama, namun mungkin takdir Allah hanya sampai di sini sahaja.

“Jadi kami ambil langkah untuk bawa haluan masing-masing, namun masih tetap berhubung sebagai seorang rakan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui selepas sesi fotografi khas di Hotel One City World di sini sebentar tadi.

Akui Erra, dia sebelum ini memang berkawan baik dan selesa di samping Shahir sejak empat tahun lalu namun menerima segala takdir yang telah disusun buatnya.

Enggan memberitahu apakah punca berlakunya perpisahan tersebut, Erra bagaimanpun mengakui dia langsung tidak kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai satu aturan dari yang Maha Esa.

“Sebagai seorang wanita apabila diberi harapan, sudah tentu ada rasa bunga-bunga tapi lama-lama kematangan akan mengatasi segalanya.

“Saya langsung tidak berasa sedih dan pada masa sama tidak boleh salahkan sesiapa kerana jodoh telah tiada antara kami,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara itu turut mengesahkan dirinya bakal menunaikan haji hujung bulan depan. - K! ONLINE