Pemilik nama sebenar Zamani Ibrahim, 48, mengaku semakin tidak selesa apabila kisah silamnya sering dikaitkan dengan pelantun lagu Anta Permana itu.

Menurut Zamani, menghormati status Siti Nurhaliza sebagai seorang isteri dan ibu, dia memohon supaya pihak di luar sana menghentikan spekulasi hubungan antara mereka.

"Saya telah berulang kali memberi penjelasan berhubung perkara ini. Saya berpendapat tidak sopan untuk terus memberi komen mengenai isu ini.

"Dia (Siti Nurhaliza) telah bergelar isteri dan ibu. Saya khuatir orang di luar sana berpendapat saya enggan meneruskan kehidupan. Saya sudah 'move on'," katanya di sini semalam.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan lagu baharunya bertajuk Aduh merupakan kisah patah hati percintaanya dengan penyanyi Jerat Percintaan itu.

Biarpun begitu, Zamani berkata, lagu Aduh sentuhan Faizal Tahir sememangnya berkisar mengenai pengalamannya sepanjang menjalinkan hubungan cinta.

"Ya, Aduh adalah sebuah lagu mengenai patah hati. Ada juga pengalaman saya dan lagu ini juga boleh diterima ramai," jelasnya.

Aduh edaran Warner Music dilancarkan di You Tube telah mencatatkan satu juta tontonan dalam tempoh seminggu. - K! ONLINE