Bagi pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, dia juga tidak dapat mengelak daripada menimbulkan rasa cemburu isterinya, Rosmawati Hanafi apabila melakonkan babak romantis dalam drama.

Namun begitu, Hisyam bersyukur kerana isteri yang juga pengurusnya itu seorang yang sangat memahami akan tuntutan kerja dan profesional saat dia perlu ‘bermesra’ dengan pelakon wanita di set penggambaran.

Ketika ditemui pada majlis pratonton filem televisyen, Geng di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, Hisyam bagaimanapun memberitahu, dia tidak mengambil kesempatan atas lampu hijau yang diberikan Rosmawati dan berusaha agar rasa cemburu isterinya itu tidak keterlaluan.

KOSMO!: Bagaimanakah anda berhadapan dengan adegan mesra dalam drama bagi mengelak rasa cemburu isteri?

HISYAM: Sebagai seorang pelakon, babak-babak mesra memang tidak boleh dielakkan kerana sebahagian daripada tanggungjawab. Kebiasaannya, apabila saya menonton lakonan sendiri dengan isteri, sebelum tiba babak tersebut, saya akan memegang erat tangan atau memaut bahunya dengan harapan tindakan itu membantu mengurangkan perasaan cemburu atau rasa tidak selesa.

Adakah isteri sering meluahkan rasa cemburu kepada anda?

Tidak, kerana dia juga bertindak sebagai pengurus saya dan lebih tahu tentang hal sebegitu. Cuma sebagai seorang suami saya tidak mahu mengambil kesempatan atas keizinan tersebut dan mahu sedaya upaya menjaga hatinya. Tipulah jika seorang wanita akan okey sahaja melihat suaminya berlakon mesra dengan wanita lain, jadi saya perlu lebih peka dengan perasaannya.

Apakah yang anda lakukan jika perlu berlakon babak mesra di hadapan isteri?

Jika isteri melihat saya tidak boleh fokus kerana kehadirannya, dia akan meninggalkan sebentar set penggambaran untuk memberi ruang kepada saya menjiwai watak. Bagi saya, hal ini menjadi mudah kerana isteri memang profesional dan tidak cemburu buta. Kadang-kadang, dia yang akan berikan arahan agar saya lebih fokus bagi menjayakan babak-babak tersebut.

Mengapakah anda tidak meletakkan sebarang syarat tentang babak mesra memandangkan anda sudah berkahwin?

Mungkin kerana setakat ini, tiada lagi babak-babak mesra yang keterlaluan perlu saya lakukan. Jika ada sekalipun, saya masih boleh berbincang dengan pengarah untuk membuat teknik kamera atau menggunakan pelbagai taktik yang tidak memerlukan saya melakonkan adegan terlalu panas. Saya sedar sebagai pelakon yang sudah berkahwin, perkara seperti ini adalah antara cabaran paling besar, namun bekerja dengan kru produksi yang memahami semuanya menjadi mudah.

Siapakah yang menentukan penerimaan tawaran lakonan anda?

Saya dan isteri akan sama-sama duduk berbincang. Rosmawati akan meneliti dahulu skrip kerana dia merupakan pengurus dan lebih tahu jika saya perlu berlakon dalam babak mesra atau tidak. Jika dia berpuas hati dan saya juga suka dengan skrip serta jalan cerita sesuatu naskhah tersebut, barulah kami akan bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

Adakah sukar bekerja dengan isteri dalam industri seni?

Tidak, malah membuatkan kerjaya saya lebih telus kerana isteri yang bertanggungjawab menguruskan jadual harian. Tidak akan timbul sebarang gosip liar atau salah faham kerana kami bekerja bersama dan tiada ruang untuk rasa curiga hadir antara saya serta isteri.