Fokus Niena kini terarah sepenuhnya kepada cahaya mata yang diberi nama Adiel Mikael sehingga terpaksa berehat seketika daripada bidang lakonan.

Pelakon berusia 26 itu juga tidak kisah seandainya populariti yang pernah memberi impak cemerlang watak wanita perampas bernama Husna dalam drama Jangan Benci Cintaku yang bersiaran pada tahun lalu berkubur begitu sahaja. Dia juga tidak peduli jika harus mengambil masa lama untuk kembali aktif.

Ikuti penjelasan Niena ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama tudung ParisFairies Scarves di Greenhouse by Muir baru-baru ini.

KOSMO!: Sudah lama tidak mendengar berita Niena selepas bersalin tempoh hari. Apa khabar Niena?

NIENA BAHARUN: Alhamdulillah saya sihat macam selalu. Cuma sekarang saya sibuk dengan anak di rumah. Memandangkan dia baru memasuki usia tiga bulan dan menyusu badan sepenuhnya, jadi memang perlu beri lebih perhatian.

Apakah perubahan yang anda dapat rasakan sejak bergelar ibu?

Sangat banyak perubahan dan sudah tentu saya pun sedang melalui rutin normal seorang ibu. Kalau ketika bujang, saya bebas ke mana sahaja tetapi sekarang perlu berfikir banyak kali. Fasa yang saya lalui ini masih awal, jadi memang tidak biasa tinggalkan anak lama-lama. Paling lama pun mungkin empat jam sahaja. Banyak waktu diluangkan di rumah memandangkan anak pula jenis yang tidak boleh berenggang. Sebab itu, mahu bermain media sosial pun tidak sempat (ketawa).

Adakah sepanjang tempoh selepas berpantang dan sehingga kini, anda ada menerima tawaran berlakon?

Memang saya ada terima beberapa tawaran berlakon drama bersiri tetapi semuanya terpaksa ditolak sebab faktor masa dan tanggungjawab kepada anak.

Tambahan, penggambaran drama bukannya ambil masa singkat. Jadi, memang agak sukar kalau saya tidak boleh beri komitmen sepenuhnya di set penggambaran.

Suami juga ada beri nasihat berhubung tawaran drama, perlu fikir banyak kali sebab faktor masa. Mungkin buat masa ini saya akan terima tawaran untuk telefilem sahaja.

Apakah anda sudah bersedia untuk kembali berlakon?

Sejujurnya saya sudah bersedia untuk berlakon dan tidak dapat dinafikan terbit kerinduan untuk ke lokasi penggambaran, namun sekarang langkah saya tersekat kerana ada anak kecil. Mungkin saya perlu ajar dia biasakan diri dengan orang lain, barulah saya boleh kembali bekerja.

Selepas ada anak kehidupan jadi berbeza. Untuk aktif seperti waktu bujang adalah mustahil.

Justeru, selepas ini saya terpaksa memilih tawaran bergantung kepada watak dan masa.

Apakah tidak ada kebimbangan bahawa populariti yang diterima hasil kecemerlangan watak Husna satu ketika dahulu akan dilupakan khalayak sekiranya anda berehat terlalu lama?

Populariti adalah bonus sebab tawaran yang datang bergantung pada rezeki. Saya percayakan rezeki. Sewaktu menerima watak Husna pun, saya sendiri tidak menjangka bahawa watak itu akan memberi impak yang sangat besar.

Sebelum Husna popular, saya sudah banyak berlakon dan mengacara tetapi impaknya biasa-biasa sahaja. Mana tahu, mungkin selepas ini ada rezeki lain yang lebih besar.