Namun, jodoh Aziz bersama Warner Music tidak kekal lama. Selepas memasarkan single duet berjudul Hana bersama pelakon Hannah Delisha sekitar penghujung tahun lalu, Aziz memutuskan untuk mengubah angin.

Memilih ‘rumah’ baharu untuk dinaungi, Aziz kini merupakan artis di bawah pengurusan Universal Music. Ketika berpeluang bertemu dengannya pada majlis pengumuman Big Stage 2 yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, Aziz menjelaskan, penghijrahannya ke syarikat pengurusan baharu bukanlah disebabkan perselisihan faham dengan pengurusan lama.

Menurut Aziz, hubungannya dengan Warner Music masih baik, cuma buat masa ini, penyanyi yang merupakan anak didik Faizal Tahir itu mahukan sebuah lembaran baharu.

Dalam pada itu, Aziz turut bercerita mengenai penglibatannya dalam Big Stage 2 dan kehidupannya sebagai siswa di Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

KOSMO!: Lagu Jauh yang merupakan single terbaharu Aziz kini dipasarkan Universal Music. Adakah secara rasminya anda tidak lagi bersama Warner Music untuk tujuan penerbitan, pengurusan dan promosi?

AZIZ: Benar, saya sudah tidak lagi bersama Warner Music sejak kemunculan single Jauh. Sejujurnya, saya berpindah ke syarikat rakaman lain bukan disebabkan sebarang pergaduhan atau perselisihan faham. Hubungan kami masih baik. Cuma, saya mahukan sesuatu yang baharu dalam karier. Untuk tahun 2019, selain syarikat rakaman dan pengurusan baharu, saya juga menerbitkan lagu yang berbeza berbanding lagu-lagu sebelumnya.

Tidakkah anda berasa kekok bekerja dengan kelompok individu baharu? Maklumlah, anda diuruskan oleh Warner Music sejak anda berusia 16 tahun.

Tidak sama sekali. Sebelum saya menyertai Universal Music, saya sudah mengenali mereka. Lagi pun, saya bekerja dengan Universal Music mengikut projek. Dalam masa sama, saya masih lagi artis Faithful Music kepunyaan Faizal Tahir.

Anda terpilih untuk menyertai program Big Stage 2 pada tahun ini. Anda juga merupakan artis yang mewakili negara Brunei, seiring dengan artis luar negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan. Boleh kongsikan sedikit, bagaimana anda boleh terjebak mengikut uji bakat Big Stage 2?

Sebenarnya, Faizal Tahir yang banyak memberikan dorongan kepada saya agar menyertai uji bakat. Sebagai bekas juri tetap, Faizal yakin Big Stage mampu menjadi platform terbaik untuk saya belajar pelbagai perkara baharu mengenai dunia persembahan. Disebabkan dorongannya, saya bersetuju untuk ikut serta. Alhamdulillah, saya diterima untuk mewakili Brunei.

Anda pernah menyertai pertandingan Bintang Kecil di Brunei ketika berusia sembilan tahun dan anda berjaya meraih gelaran juara. Apakah harapan anda untuk pertandingan kali ini?

Sejujurnya, pengalaman menyertai pertandingan ketika kanak-kanak jauh berbeza dengan Big Stage. Menerusi pertandingan ini, saya perlu berentap dengan penyanyi-penyanyi bervokal mantap. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan saya juga perlu mengambil inisiatif untuk melakukan yang terbaik.

Sebelum ini, anda dikenali sebagai penyanyi yang hanya menyanyi bertemankan gitar. Adakah dengan menyertai Big Stage, anda mahu membuktikan kemampuan menyanyikan lagu-lagu bergenre lain?

Benar, saya mahu membuktikan bahawa saya mampu menyanyi tanpa gitar. Untuk permulaan, saya telah menunjukkan sisi berbeza dalam lagu Jauh yang agak condong ke arah muzik balada. Untuk single seterusnya, saya ingin mencuba sesuatu yang lebih berbeza.

Anda telah menetap di Kuala Lumpur sejak November tahun 2017 bagi menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi Perniagaan di Brickfields Asia College. Bagaimanakah anda membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya?

Pada mulanya, saya sangkakan belajar di kolej merupakan satu hal yang sukar. Sebenarnya tidak. Asalkan pandai membahagikan masa untuk pelajaran dan kerjaya, segalanya akan berjalan dengan lancar.

Bagaimana dengan keluarga? Adakah anda selalu pulang ke Brunei atau mereka sering ke Kuala Lumpur?

Mereka sering terbang ke Kuala Lumpur untuk menjenguk saya. Mereka juga merestui saya menyambung pelajaran di sini memandangkan agak mudah untuk menguruskan kerjaya nyanyian dan menyertai rangka promosi yang ditetapkan oleh syarikat rakaman.