Sepanjang 11 tahun hidup berumah tangga, Balkisyh, 32, berkata, dia telah membuat laporan polis sebanyak 11 kali terhadap suaminya atas tuduhan keganasan rumah tangga.

“Sepanjang perkahwinan, kami memang nampak bahagia. Hakikatnya, kebahagiaan itu hanya kekal selama dua tahun sahaja.

“Sembilan tahun lagi saya menderita dengan keganasan rumah tangga. Sepanjang sembilan tahun, 14 laporan polis yang saya buat,” katanya.

Balkisyh dan Aizad berkahwin pada tahun 2007 dan mereka sah bercerai pada 5 September lalu.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 7, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 2.

Balkisyh menambah, kehidupannya kini menjadi terumbang ambing selepas sah bercerai.

“Selepas disahkan bercerai saya tidak mempunyai apa-apa. Akaun bank berbaki kosong, rumah masih berhutang, kereta juga sudah empat bulan tidak dibayar dan rumah dikunci suami. 

“Jadi, saya dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah jiran selama empat hari kerana bekas suami tak beri masuk ke rumah tersebut. Selepas kejadian itu saya terpaksa berjuang mencari duit untuk bayar hutang piutang yang ditinggalkan itu,” katanya lagi.

Julai lalu, radar dunia hiburan dikecohkan dengan penularan rakaman video yang menyaksikan Balkisyh bergaduh dengan Aizad.

Menerusi rakaman tersebut, Balkisyh dilihat cuba menendang bekas suami kerana enggan membenarkan Aizad mengambil anaknya. - K! ONLINE