Ironinya, pelakon dan penyanyi berusia 39 tahun itu perlu membawa watak ahli tomoi yang kemudiannya bekerja sebagai anggota bomba bantuan dalam filem terbitan Darling Ngasri itu. Sedangkan, Mark sebelum ini lebih dikenali sebagai pelawak dengan slanga percakapannya yang berbunyi kelakar.

Namun, demi mencabar diri dan merealisasikan watak yang menuntutnya menjayakan babak aksi serta bertumbuk itu, Mark sanggup mengharungi rasa gentarnya untuk filem yang turut dibintangi oleh Hisham Hamid, Elisha Sandha dan Syafiq Farhain itu.

Sebaliknya bagi Hisham pula, tiada sebab untuk dia menolak naskhah yang dekat dengan jiwanya itu sementelahan pernah bekerja sebagai ahli bomba selama lapan tahun di Singapura dahulu.

Menempatkan diri sekali lagi dalam situasi sukar yang pernah dilaluinya semasa menjawat jawatan tersebut, filem terbitan NS Star Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu juga turut menyingkap sisi komedi Hisham dalam melunaskan watak Zaf yang sentiasa kalut.

SENSASI BINTANG: Menerima naskhah Hero The Movie yang mengetengahkan kisah bomba, apakah yang dapat kalian ungkapkan mengenai filem arahan Azizi Chunk Adnan itu?

MARK ADAM: Ini merupakan kali pertama saya bawa watak sebagai ahli bomba. Sejujurnya, saya rasa bertuah kerana mendapat pendedahan sebagai anggota bomba. Baru saya sedar kesusahan yang diharungi ahli bomba dalam menyelamatkan orang, lebih-lebih lagi apabila dapat tahu yang mereka bukan sahaja menerima satu panggilan kecemasan dalam sehari, bahkan kadang-kadang sehingga empat panggilan yang memerlukan mereka bergegas ke lokasi.

HISHAM HAMID: Apa sahaja berkaitan bomba ia menjadi nilai sentimental kepada saya. Masakan tidak, selama lapan tahun saya berkhidmat sebagai anggota bomba di Singapura. Jadi, apabila ada tawaran berlakon sebagai anggota bomba, sudah tentu saya terima kerana mudah untuk saya mengolah watak. Mungkin ada yang menganggap saya stereotaip sebab sekali lagi jayakan watak anggota bomba selepas Abang Bomba I Love You. Pada saya, jalan cerita Hero The Movie berbeza dengan Abang Bomba I Love You. Karakter yang saya jayakan juga berbeza.

Barangkali mungkin mudah bagi Hisham menjayakan watak anggota bomba, namun sebaliknya bagi Mark yang buat julung-julung kali merealisasikan watak anggota beruniform itu. Komen kalian?

MARK ADAM: Memang bukan mudah untuk saya menjayakan watak ahli bomba bernama Adam Fanifinali. Ini kerana, sebelum ini peminat lebih mengenali saya sebagai pelakon komedi tetapi mereka akan terkejut apabila melihat penampilan saya dalam filem Hero The Movie. Dalam filem ini, walaupun saya masih melakonkan watak komedi, namun saya juga dituntut melakukan babak aksi dan lawan. Malah, saya terpaksa belajar teknik bertarung dengan koreografi seni bela diri yang disediakan selama sminggu.

HISHAM HAMID: Walaupun ini kali kedua saya bawa watak sebagai anggota bomba, namun menerusi filem Hero The Movie, saya perlu melakukan lebih banyak babak aksi. Pada masa sama, saya juga perlu berlakon komedi dengan menjayakan watak Zaf, seorang lelaki yang kalut, tetapi sangat berdedikasi dalam tugasan.

Boleh kongsikan gandingan kalian menerusi filem berkenaan?

MARK ADAM: Saya teruja dapat menjayakan watak utama di samping Hisham. Dia juga banyak beri pendedahan mengenai karier bomba kepada saya.

HISHAM HAMID: Mencabar juga berlakon di samping pelawak. Bukan apa, mereka ini suka melakukan lawak secara spontan. Bayangkan, ketika latihan mereka perlu berdialog begitu dan begini. Alih-alih semasa penggambaran, boleh pula mereka keluar lawak spontan. Saya terpaksa tahan gelak kerana kamera sedang merakam adegan tersebut. Bergandingan dengan Mark dan Bell Ngasri sungguh menghiburkan.

Apakah babak-babak sukar yang perlu dijayakan kalian?

MARK ADAM: Ada beberapa babak berlawan kerana kami berdepan dengan orang jahat dalam filem ini. Bukan itu sahaja, saya juga perlu memanjat tali dan mengangkat peralatan bomba yang berat. Baru saya tahu barangan yang digunakan bomba semuanya berat-berat belaka.

HISHAM HAMID: Saya kena bawa watak yang belum pernah dibawa sebelum ini. Saya bawa watak seorang yang kalut, namun apabila membabitkan babak berlawan, Zaf akan bertukar menjadi seorang yang hebat. Ada babak berlawan di atas bumbung dengan pelakon aksi Indonesia. Saya juga terpaksa melakonkan babak dicampak dan membabitkan letupan.

Selain filem itu, apakah projek seni lain yang sedang atau akan diusahakan kalian?

MARK ADAM: Selepas menghasilkan lagu Marry Me pada tiga tahun lalu, terkini saya bakal muncul dengan lagu baharu yang berjudul Amnesia. Lagu tersebut merupakan ciptaan saya bersama Adeep Nahar.

HISHAM HAMID: Selepas selesai penggambaran filem Hero The Movie, saya akan bercuti selama sebulan. Saya akan pulang ke Singapura dulu bertemu dengan anak-anak dan memantau pelajaran mereka memandangkan sekarang musim peperiksaan. Selepas itu, saya akan bawa keluarga bercuti di luar negara.