Dedahnya lagi, kejadian itu sering berlaku di hadapan ibu bapa mereka, namun tidak terdaya untuk mengambil tindakan melindungi nyawa anak masing-masing.

Tidak mendedahkan lokasi kejadian secara terperinci, Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 34, berkata dia bersama badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal Malaysia berkunjung ke Afrika untuk menyaksikan sendiri kedaifan komuniti di sana.

Menurut Heliza, lokasi tersebut sangat terpencil dan tidak pernah dijejaki mana-mana NGO Islam dari seluruh dunia.

"Saya diberitahu keadaan komuniti di sana sangat daif sehingga kanak-kanak menjadi mangsa pembunuhan kemudian digoreng di hadapan ibu bapa mereka. Keadaan mereka sepertinya amat tenat.

"Kami difahamkan sukar untuk NGO muslim masuk ke lokasi tersebut, jika berjaya, kami akan menjadi NGO Islam pertama membantu mereka," katanya kepada Kosmo!.

Heliza bersama pasukan Yayasan Amal Malaysia telah berangkat ke Afrika dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 11 malam semalam.

Beliau berkata, kumpulan itu akan berkunjung ke Cameroon yang menempatkan kem pelarian masyarakat muslim di Afrika.

Kongsinya lagi, muslim di kem pelarian tersebut amat gemar membaca al-Quran tetapi terpaksa berkongsi helaian al-Quran dan membaca secara bergilir-gilir.

"Kami akan melaksanakan ibadah kurban bersama komuniti muslim di sana selain membawa bantuan seperti naskhah al-Quran dan peralatan menunaikan solat," katanya.

Heliza yang turut menyambut perayaan di Afrika dijangka berada di negara tersebut selama lapan hari. - K! ONLINE