Ketika itu, momentum karier Ernie naik mencanak dan kehadirannya mula mendapat perhatian.

Ditambah dengan kejayaannya meraih anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) menerusi lagu duet bersama Syamel berjudul Aku Cinta, Ernie semakin galak mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan.

Namun, ada satu hal tentang percaturan karier wanita berusia 26 tahun itu yang dirasakan masih samar-samar. Ernie dilihat kurang bijak memilih material untuk dijadikan single.

Mengimbas kembali perjalanannya selepas kejayaan Aku Cinta pada AJL32, Ernie meluncurkan lagu berjudul Misteri. Lagu balada ciptaan Gouffran dan Sang Hitam tersebut cemerlang dari segi produksi dan persembahan vokal.

Malangnya, ia tidak dapat duduk dalam kelompok lagu-lagu popular hari ini yang lebih mesra pendengar dan mudah diterima khalayak.

Lebih misteri, lagu tersebut tidak berjaya lolos ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 (SFM33) seterusnya menghampakan harapan peminat untuk melihat Ernie beraksi pada AJL33.

Justeru, apabila Ernie menyatakan hasrat untuk meluncurkan single seterusnya, ramai yang menanti penuh teruja, termasuk penulis. Bagaimanapun, rasa keterujaan tersebut sedikit pudar apabila lagu tersebut, Ku Bersuara tidak menepati jangkaan.

Secara peribadi, Ernie mampu menyalurkan kekuatan vokalnya dalam lagu ciptaan Blaine Bakri, John Jeevasingham, Omar K dan Syamel tersebut, sama seperti lagu-lagunya yang terdahulu. Sungguhpun begitu, dari segi melodi, Ku Bersuara kurang kukuh untuk menyita khalayak.

Penulis kurang pasti sama ada Ernie menyedari tentang perkara berkenaan atau tidak, lontaran suaranya pada awal lagu kedengaran mirip lagu Fallin’ dendangan penyanyi antarabangsa, Alicia Keys.

Sementara petikan gitar pada pertengahan dan korus lagu pula kedengaran seperti dua lagu milik Ariana Grande iaitu God Is A Woman dan Dangerous Woman. Persamaan sebegitu menyebabkan penulis teringatkan semula lagu Ernie terbitan tiga tahun lalu, Ini Yang Ku Mahu yang kedengaran mirip lagu Megan Trainor.

Ernie punya suara yang sangat bagus. Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah beberapa kali menyebut namanya sebagai penyanyi muda yang berpotensi untuk pergi jauh. Rugi jika ia tidak digunakan sebaik mungkin.

Ernie sepatutnya lebih bijak memilih lagu yang setara dengan vokalnya dan pada masa sama, mampu memberi impak kepada pendengar. Ditambah kini Ernie telah bernaung bawah label besar, Rocketfuel Entertainment, mungkin ia dapat membuka peluang yang lebih besar kepada Ernie untuk berkolaborasi dengan penggubah lagu gred A tanah air.

Cuma apa yang diharapkan pada masa akan datang, Ernie lebih berhati-hati dalam memilih karya agar relevansinya sebagai penyanyi dapat bertahan untuk jangka masa yang panjang. – IZWAN MOHD. ISA