Memasang angan-angan untuk melihat pasukan kegemarannya, Portugal mara ke peringkat yang lebih jauh, penyampai radio yang terkenal dengan slot Suria Cinta, DJ Lin bagaimanapun akur dengan realiti skuad bimbingan Fernando Santos itu pulang awal pada pusingan suku akhir.

“Apa boleh buat, Portugal sudah tersungkur awal. Lagi mengecewakan, England tewas pada peringkat separuh akhir kepada Croatia.

“Untuk final, mungkin Croatia berpeluang untuk merangkul gelaran juara walaupun mereka bermula sebagai pasukan underdog. Apapun, bola itu bulat dan pasukan Perancis sudah tentu akan memberikan tentangan sengit memandangkan mereka pernah menjulang Piala Dunia pada 1998,” ujar pemilik nama sebenar Roslinda Abd. Majid itu.

Sengaja diajukan soalan berkenaan peluang untuk melihat pasukan Malaysia beraksi di Piala Dunia, wanita berusia 41 tahun itu optimis bahawa akan datang sinar kegemilangan bola sepak negara untuk tujuan itu.

Peluang

“Kita perlu mengambil contoh negara-negara Asia lain seperti Jepun dan Korea Selatan yang digeruni banyak pihak lawan walaupun fizikal pemain mereka jauh lebih kecil berbanding pemain negara barat,” ujar DJ Lin bersemangat.

Sementara itu, pelawak dan pengacara, Sharifah Shahira yang juga penyampai radio segmen Suria Pagi, turut menyokong aspirasi DJ Lin untuk melihat pasukan Harimau Malaya terus mengaum di pentas antarabangsa.

“Ramai yang tidak meletakkan keyakinan terhadap pasukan bola sepak tempatan. Bagi saya, kalau bukan kita yang memberikan sokongan terhadap perkembangan bola sepak tempatan, siapa lagi?

“Perlu terus giatkan usaha untuk merakyatkan sukan nombor satu dunia ini. Saya percaya, dengan kepimpinan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan ada sinar buat bola sepak negara,” jelas Shahira, 44.

Mengulas lanjut, Shahira atau nama sebenarnya, Sharifah Shahira Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, dia tidak memihak kepada mana-mana pasukan pada final yang akan berlangsung pada Ahad ini.

“Suami saya (Ijoy Azhari) sokong England namun disebabkan pasukan berkenaan sudah tersungkur pada separuh akhir, dia pun sudah tawar hati (ketawa). Namun saya sokong pakai jersey Perancis untuk final,” tutur Shahira yang sedikit kecewa apabila banyak pasukan kegemaran seperti Jerman dan Brazil ‘bungkus’ awal pada edisi kali ini.

Mengakui bukan peminat tegar sukan bola sepak, penyampai Buletin Suria dan segmen Pilihanku Di Suria, Naim Hashim meletakkan harapan terhadap pasukan Croatia untuk mengejutkan gergasi bola sepak, Perancis.

“Sejujurnya, saya tidak tengok bola sangat tetapi disebabkan tuntutan kerja Buletin Suria saya perlu tahu serba sedikit tentang sukan ini.

“Saya kagum dengan prestasi Croatia pada edisi kali ini. Siapa sangka pasukan underdog itu mampu mara sampai ke final bertemu dengan Perancis. Jadi, saya harap Croatia bermain bersungguh-sungguh ketika final Ahad ini,” kata Naim.

Contoh

Meneruskan bicara, Naim berpendapat, rakyat Malaysia harus meneladani sikap para penyokong bola sepak Jepun yang tidak segan-silu mengutip sampah sesudah perlawanan habis.

“Mereka kalah pun, masih berpegang pada prinsip iaitu menjaga kebersihan. Saya sedikit pelik apabila Menteri Belia dan Sukan kita, Syed Saddiq berbuat demikian pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu, ramai yang mengecam,” getusnya.

Penyampai Grandstand Suria, Halim Othman memberitahu, Jepun merupakan pasukan pilihannya pada Piala Dunia kali ini kerana menyifatkan cara permainan mereka yang kreatif walaupun rezeki tidak berpihak kepada pasukan dari negara matahari terbit itu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Selepas kegagalan Jepun, saya meramalkan pasukan England mampu melangkah ke peringkat akhir kerana mereka berpotensi untuk menang apatah lagi menunjukkan permainan yang konsisten bagaimanapun mereka kecundang juga.

“Apa yang menarik, Croatia muncul buat kali pertama layak ke peringkat akhir dan merupakan pasukan yang tidak dijangka akan melangkah ke final. Sejujurnya saya memberi tumpuan lebih pada edisi Piala Dunia kali ini kerana bertepatan dengan segmen yang dikendalikan,” ujarnya yang turut berhajat untuk menjejakkan kaki di lokasi Piala Dunia seterusnya di Qatar pada tahun 2022.

Walaupun tidak mengikuti edisi Piala Dunia kali ini, Feeya Iskandar turut bersedih apabila pasukan pilihannya Brazil terpaksa pulang awal selepas gagal meraih tempat ke peringkat seterusnya.

Menyifatkan pasukan England mempunyai harapan untuk bergelar juara Piala Dunia tetapi itu tidak kesampaian.

“Sukar meramalkan pasukan mana yang layak bergelar juara kerana jika dilihat kebanyakan pasukan terkuat dan mempunyai nama besar sudah tersingkir awal” jelasnya yang berpendapat persamaan dunia sukan dan seni ialah mempunyai peminat dan pengikutnya yang tersendiri.

Bob Ringgo yang mengendalikan segmen Warung Suria pula mengakui sukar untuk meramalkan pasukan mana yang bakal menjuarai Piala Dunia kali ini.

Hal ini kerana, pasukan yang melangkah ke peringkat akhir tersebut mempunyai kekuatan mereka tersendiri.

“Saya lihat Piala Dunia kali ini agak hambar kerana beberapa pasukan yang mempunyai nama besar sudah tersingkir dan pasukan bukan pilihan atau underdog yang lebih menyerlah.

“Sejujurnya saya bukanlah peminat fanatik Piala Dunia ini kerana saya hanya menonton untuk mendapatkan pengetahuan seperti fakta-fakta menarik berkenaan pemain daripada negara yang terlibat,” ujarnya yang meminati bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Sasaran

Melanjutkan cerita, Suraya Borhan tidak menduga kekalahan England di tangan Croatia 2-1 mematikan harapannya untuk melihat pasukan kesayangannya itu mara ke peringkat akhir.

Biarpun bukan tergolong dalam kalangan penggemar sukan bola sepak, tetapi Suraya tidak menafikan kecintaannya terhadap pasukan berkenaan yang dilihat mempunyai potensi membawa pulang trofi Piala Dunia 2018.

“Melihat kepada kekuatan pemain pasukan England, saya berasa yakin bahawa mereka akan berjaya meloloskan diri sekali gus melenyapkan kemarau 52 tahun sejak kali pertama memenanginya pada 1966,” jelasnya yang gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium berbanding menonton di kaca televisyen.

Seorang lagi yang juga gemar melakukan perkara sama, ialah penyampai radio Suria FM segmen Suria Pagi, Fizi Ali. Meskipun pasukan kesayangannya, Itali gagal mendapat tempat dalam perlawanan Piala Dunia 2018, ia bagaimanapun tidak melumpuhkan semangat Fizi untuk mengikuti perkembangan setiap perlawanan sehingga ke peringkat akhir.

“Saya merupakan peminat pasukan Itali, tetapi sayang mereka terlebih dahulu tersingkir awal daripada senarai pasukan. Memang ia agak mengecewakan tetapi saya tetap memberi sokongan kepada apa sahaja pasukan berjaya ke final kelak,” terangnya yang merupakan peminat tegar sukan bola sepak.

Meskipun memberi sokongan padu kepada Perancis yang bakal menemui Croatia pada perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad depan pukul 11 malam, Fizi bagaimanapun tidak dapat menafikan kekecewaannya terhadap kegagalan Itali.

Dalam pada Fizi yang meluahkan rasa kecewa terhadap pasukan Itali, penyampai radio, Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zoqarnain Idris pula dengan terbuka mengakui dia bukan seorang penggemar sukan bola sepak.

Kecenderungannya nyata lebih ke arah sukan bola keranjang yang sememangnya diminati sejak di bangku sekolah. Namun, sebagai individu yang berkhidmat dalan lapangan media, Tyzo bagaimanapun tetap mencari waktu menyibukkan diri bagi mengikuti perkembangan jadual perlawanan.

“Biarpun tidak meminati sukan bola sepak tetapi saya tetap mengharapkan agar pasukan Perancis membawa gelaran juara Piala Dunia 2018,” katanya yang pernah mengendalikan program sukan terbitan RTM, Program Sukan 2004.

Kesemua sembilan orang penyampai ini terlibat dalam segmen Siaran Luar Suria pada final Piala Dunia Rusia 2018 bermula pukul 5 petang.

Seramai sembilan penyampai radio Suria FM teruja menanti pasukan bakal menjulang trofi Piala Dunia 2018 antara Croatia dan Perancis yang dijadualkan berlangsung pada pukul 11 malam waktu Malaysia, Ahad ini.