Pada hemah Siti, situasi tersebut mungkin akan dianggap sebagai berlebihan namun bagi warganegara Malaysia, menghargai figura bernama Siti Nurhaliza sempena hari jadi bagaikan telah menjadi rutin wajib, lebih-lebih lagi bagi pemuja tegarnya.

Secara peribadi, wanita yang memulakan karier nyanyian pada usia 16 tahun itu dilihat sangat bermakna pada banyak orang. Bukan sekadar lagu-lagunya yang memberi nilai sentimental, malah kehadiran Siti dalam dunia seni Nusantara sejak sekian lama telah meninggalkan impak positif dalam kalangan khalayak.

Masih segar dalam ingatan sewaktu penganjuran Sukan SEA Ke-29 di Kuala Lumpur dua tahun lalu. Ketika itu, timbul sedikit kekecohan apabila bendera negara Indonesia dicetak terbalik dalam buku program yang dijual.

Pada waktu tersebut, pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia hangat ‘berperang’, melontarkan pendapat dan cuba membela negara masing-masing.

Namun, dalam ribuan luahan perasaan amarah di alam maya, terdapat satu tweet yang dihantar seorang warga Indonesia berjaya menjentik lelucon dan kesimpulan logik akal.

“Bendera Indonesia dipasang terbalik? Anggap saja ini ujian untuk kesabaran kita. Jangan marah. Aku tak mahu kehilangan Siti Nurhaliza,” tulisnya.

Begitu besar pengaruh Siti. Tidak kira apa pun berlaku, penyanyi yang dilabel masyarakat sebagai penghibur nombor satu negara itu sering diingati dan disayangi peminat.

Mengakui berasa dihargai, Siti yang ditemui baru-baru ini menyifatkan ingatan sebegitu daripada peminat sebagai satu penghargaan luar biasa.

“Saya cuma seorang penyanyi yang menghiburkan orang ramai. Jadi, apabila ada yang menghargai sebegini, saya berasa sangat bersyukur.

“Terima kasih kerana selalu menghargai hasil kerja seni saya. Saya berasa sangat terharu dengan sokongan yang diberikan,” ujar Siti.

Memasuki usia 40 tahun bukanlah satu perkara yang ditakutkan oleh penyanyi lagu Anta Permana itu. Bagi Siti, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana setiap orang akan melalui fasa penuaan, termasuk dirinya.

“Sejujurnya, saya tidak mengambil berat sangat tentang usia. Cuma, apa yang saya pentingkan adalah kesihatan.

“Jika diberikan kesihatan berpanjangan, saya boleh meneruskan kerja dan melakukan lebih banyak ibadah kepada Allah,” ujar Siti jujur.

Semakin matang dalam menelusuri kehidupan, isteri kepada ahli perniagaan Datuk Khalid Mohamad Jiwa itu selesa dengan perjalanan seninya.

“Jika ingat kembali ketika berusia 20-an, saya sedang gigih dan bekerja kuat untuk membina nama. Pada waktu itu juga saya tidak pernah fikir untuk berehat.

“Sehinggalah masuk dan lewat usia 30-an, saya sudah selesa dengan kerjaya dan kehidupan peribadi,” ujar Siti yang mengakui bersyukur dikurniakan cahaya mata pada waktu itu.

Menurut penerima anugerah Vokal Terbaik Wanita paling banyak menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) itu, apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah mengekalkan momentum sebagai penyanyi.

“Untuk usia 40-an pula, saya hanya perlu mengekalkan apa yang telah diperjuangkan. Tidak perlu gimik atau perkara-perkara pelik, saya hanya perlu konsisten dalam mengeluarkan lagu-lagu berkualiti,” ujarnya sambil tersenyum.

Selain memberi fokus terhadap karier, Siti turut meluahkan hasrat untuk memperbanyakkan aktiviti melibatkan masyarakat. Cuma tegas Siti, melakukan kerja-kerja amal tidak bermakna beliau berkeinginan untuk terjun ke bidang politik.

“Benar, saya banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, lebih-lebih lagi apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar. Tetapi saya tidak berhasrat untuk menceburi bidang politik.

“Hati lebih tenang dan senang jika saya menumpukan perhatian terhadap bidang nyanyian sahaja. Saya masih boleh menghiburkan orang dan pada masa sama membantu mana yang termampu,” katanya yang memandang Oprah sebagai selebriti ikonik dalam kerja kemasyarakatan.

Hadiah

Menjadi kesayangan masyarakat, sudah tentu peminat ingin mengetahui hadiah yang bakal diterima daripada suami.

Tertawa dengan tebakan soalan tersebut, Siti berkata: “Saya tidak terfikir mengenai hadiah. Apa yang penting, saya dapat bersama anak dan keluarga setiap masa.”

Bercakap mengenai nilai relevan, Siti boleh dikategorikan sebagai artis yang sentiasa berada dalam radar industri hiburan. Justeru, tidak hairan jika jenama-jenama besar sentiasa memandang beliau sebagai wajah terbaik untuk mewakili produk di pasaran.

Duta

Terbaharu, Siti dilantik sebagai duta produk perkakasan dapur popular, Vantage. Lebih mengejutkan, koleksi Vantage Siti Series berjaya dijual sebanyak 22,000 unit dalam masa dua jam bersiaran menerusi siaran langsung Showcase Datuk Seri Siti Nurhaliza di saluran GoShop baru-baru ini.

Biarpun berjaya menjual produk yang diwakili sebanyak itu, Siti bagaimanapun tidak mengambil kredit penuh ke atas pencapaian tersebut.

“Ini bukan usaha saya seorang tetapi perkakasan dapur milik Vantage begitu berkualiti.

“Ramai yang membeli kerana menganggap set perkakasan memasak ini sebagai satu keperluan. Kalau tidak percaya, boleh tanya pengurus saya, Kak Rozi. Ahli keluarga dia dan saya ramai yang memesan set ini,” katanya sambil tertawa.

Menerima respons yang luar dugaan, Siti turut mengumumkan peraduan eksklusif untuk pelanggan GoShop yang membeli Siti Series daripada saluran jual beli tersebut.

“Tiga pelanggan yang membeli produk Vantage Siti Series dengan nilai paling tinggi berpeluang memenangi sepasang tiket konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Kuala Lumpur bernilai RM710.

“Peraduan berjalan bermula 10 Disember lalu sehingga 17 Februari depan. Pemenangnya akan diumumkan pada 8 Mac depan,” katanya lagi.

Melanjutkan bicara tentang konsert jelajah tersebut, Siti berharap diberi kesihatan agar apa yang dirancang berjalan lancar.

“Saya sudah mula menjalani latihan awal bersama pemuzik awal minggu ini. Selain itu, semangat untuk mengadakan persembahan juga sudah meluap-luap, lebih-lebih lagi selepas saya merakamkan program khas hari raya terbitan Astro baru-baru ini.

“Saya berdoa agar diberi kesihatan yang baik sepanjang konsert berlangsung,” katanya.

Berhubung perancangan membawa konsert jelajahnya ke London, England, Siti terlebih dahulu mahu penganjur memberi fokus terhadap konsert di Indonesia, Singapura dan Malaysia.

“Kalau boleh, saya mahu fokus terhadap persembahan di tiga buah negara itu terlebih dahulu.

“Kami akan memutuskan tentang persembahan di London selepas konsert di Jakarta, Indonesia selesai,” kata Siti mengakhiri bicara.Selamat hari jadi Siti! Semoga terus diberikan rezeki dan dilimpahkan seribu kebahagiaan untuk mendepani hari-hari mendatang.