Menariknya, filem yang sudah menjalani penggambaran kira-kira dua tahun lalu itu menampilkan barisan pelakon yang cukup berbakat besar. Diterajui oleh Datuk Fizz Fairuz, Abam Bocey dan Saharul Ridzwan, naskhah berdurasi 100 minit itu turut menampilkan pelakon komedi wanita yang tidak asing seperti Sharifah Sakinah dan Sherry Alhadad selain pelakon Emma Maembong.

Semestinya gabungan nama-nama besar itu dalam satu karya menjanjikan sesuatu yang terbaik buat penonton. Lebih teruja apabila FTV yang akan menemui penonton menerusi saluran Astro First Ekslusif itu menggunakan khidmat sutradara terkenal, Michael Ang.

Kehidupan tiga beradik

Menurut Michael, naskhah berkenaan mengisahkan kehidupan tiga beradik iaitu Johan, Syafiq dan Zed yang menjadi yatim piatu selepas pemergian kedua-dua ibu bapa mereka. Tiga individu yang menggalas watak tersebut merupakan Datuk Fizz Fairuz, Saharul Ridzwan dan Abam Bocey.

Pemilihan Saharul yang jarang dilihat dalam naskhah komedi merupakan antara tarikan yang dinanti-nantikan. Biarpun dilihat pemilihan Saharul sebagai satu bentuk eksperimen dalam karya komedi, ia bukanlah menjadi satu masalah. Lagipun, menurut Michael, karya tersebut lebih menonjolkan sisi humor daripada aspek dialog dalam kalangan pelakon.

“Ia bukanlah sebuah cerita komedi yang biasa orang lihat. Bagaimanapun, garapan jalan cerita ini kita cuba tonjolkan sisi komedi itu lebih kepada dialog yang diguna pakai dalam cerita ini. Jadi, tidak menjadi masalah buat pelakon yang bukan dikenali dengan karakter komedi seperti Saharul,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Biarpun berunsurkan komedi, menurut Michael, naskhah tersebut banyak menyelitkan unsur-unsur positif kepada penonton yang boleh dijadikan pengajaran berguna dalam kehidupan seharian.

“Kita bukan sahaja mahu menampilkan unsur komedi semata-mata, sebaliknya cuba tonjolkan semangat dan kecekalan tiga beradik ini dalam mengharungi kehidupan mereka selepas ketiadaan ibu bapa. Walau apa jua yang berlaku, adik-beradik tetap akan bersatu dan membantu antara satu sama lain,” kongsinya yang memberitahu, proses penggambaran mengambil masa selama 10 hari sahaja.

Jelas Michael lagi, pada masa sama dia juga cuba mengangkat kehidupan orang yang mengalami masalah mental berikutan kehidupan golongan itu jarang dipaparkan mengenai pengalaman sebenar yang dilalui insan kekurangan seperti itu.

“Kita biasa melihat orang kurang waras bercakap sendirian, tetapi sering tertanya-tanya dengan siapa mereka sebenarnya bercakap. Kita tidak pernah tahu adakah mereka memang benar-benar bercakap sendirian atau pun tidak.

“Jadi, dalam cerita ini, saya cuba bawakan kehidupan orang pesakit mental yang dilakonkan oleh Sharifah Sakinah,” kongsinya yang memberitahu proses penggambaran dijalankan di sekitar Lembah Klang sahaja.

Pengalaman pertama

Sementara itu, Fizz memberitahu, ia merupakan pengalaman pertamanya bergandingan bersama Saharul dan Abam dalam satu karya.

“Walaupun pertama kali bekerjasama dengan mereka, semuanya berjalan mudah. Masing-masing tahu peranan yang perlu dibawa. Tambahan pula kami saling berbincang, jadi ia tidak menjadi masalah,” katanya.

Biarpun jalan cerita berbentuk komedi, katanya cerita ini banyak mengajar kita agar jangan selalu bersikap tamak selain menjaga ikatan persaudaraan antara adik-beradik itu.

“Dalam cerita ini saya memegang watak sebagai abang sulung. Jadi, tanggungjawab utamanya adalah menjaga dua orang adiknya. Bagaimanapun, kami berdepan dengan sikap bapa saudara yang mahukan harta peninggalan arwah ibu bapa kami.

“Daripada situlah segala konflik bermula apabila kami cuba dianiaya,” kongsinya yang membawakan watak sebagai Johan.

Hantu Rumah Sakit Jiwa memaparkan kisah tiga beradik yatim piatu yang tinggal bersama-sama di sebuah rumah peninggalan orang tua selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Sejak pemergian ibu bapa mereka, bapa saudaranya Razak (lakonan Azhan Rani) yang selama ini tidak begitu mesra dengan Johan sekeluarga telah muncul dengan agenda tersirat. Razak berhajat untuk memiliki rumah kediaman tiga beradik itu.

Ketiga-tiga beradik itu kemudian terbabit dalam satu kemalangan sewaktu melakukan aktiviti lasak, terjunan bungee yang sudah dirancang oleh Razak. Apabila mereka melakukan terjunan secara serentak, tiba-tiba tali mereka terputus dan membuatkan mereka jatuh terhempas ke dalam gaung yang menyebabkan mereka koma di hospital.

“Apabila tersedar, mereka terkejut apabila melihat rumah mereka kini dijadikan pusat rawatan mental. Pada masa sama, ketiga-tiganya menjadi panik apabila menyedari bahawa hanya pesakit mental sahaja boleh melihat kewujudan mereka,” tambah Fizz.

Justeru, Johan dan adik-adiknya menganggap bahawa hanya pesakit mental sahaja boleh melihat mereka dan tidak bagi manusia normal. Keadaan ini secara tidak langsung memudahkan mereka bertiga menyusup masuk dan melakukan pengintipan bagi mengenal pasti apa yang sebenarnya terjadi sehinggalah mereka menemui motif di sebalik penukaran status rumah agam mereka kepada pusat rawatan mental.

Hantu Rumah Sakit Jiwa yang turut menampilkan aktres Normah Damanhuri itu bakal menemui penonton bermula 26 April ini di saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) dan platform digital on demand.