Dialog ‘Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas’ yang diungkapkan Kak Limah juga sudah cukup untuk membikin bulu roma meremang kendatipun Mamat cukup terkenal dengan satira sinikal yang menjadi kudap-kudapan dirinya setiap kali berkarya sejak sekian lama.

Selepas tujuh tahun merasuk pemikiran peminat, kisah terbaharu filem Hantu Kak Limah kini kembali yang gerenti dinanti-nantikan kaki-kaki wayang seantero negara apabila dijangka menjengah pawagam pada Ogos tahun depan.

Sementelahan pula dengan kejayaan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang berjaya melakar kutipan tiket sebanyak RM8.9 juta sementara Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (RM5.9 juta), ekspektasi penonton terhadap sentuhan terbaharu Mamat kali ini pastinya cukup tinggi menongkah langit.

Betapa dekatnya repertoir Mamat yang satu ini juga sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Tidak perlu disamakan dengan untaian naskhah lain seperti Rock dan Zombie Kampung Pisang yang turut memiliki kisah demi kisah dalam setiap kesinambungan filem berbeza, ternyata Hantu Kak Limah berada dalam kelas tersendiri.

Cuma lumrah dalam kehidupan, begitu juga cerminan filem yang tidak boleh lari daripada kenyataan. Kehilangan beberapa nama yang cukup sinonim dengan naratif Hantu Kak Limah selama ini seperti Pak Abu (Allahyarham Zami Ismail), Pak Jabit (Allahyarham Man Kadir Shamsi) dan Wan Kaswi (Allahyarham Azwan Annuar) yang telah pergi menyahut panggilan Ilahi pastinya mengundang sentimen peribadi dalam kalangan mereka yang cukup dekat dengan filem ini.

“Tanpa sedar, tiga pelakon penting filem Hantu Kak Limah telah tiada. Walau apa pun, filem ini tetap akan diteruskan. Saya harap ia akan menjadi filem yang paling lawak pernah saya hasilkan.

“Cuba bayangkan apa perasaan saya sebagai pengarah apabila ramai yang bertanya bagaimana untuk meneruskan filem Hantu Kak Limah tanpa watak-watak mereka. Jadi, saya harap kewujudan watak-watak baharu dapat mengisi kekosongan watak-watak ditinggalkan arwah,” getus Mamat.

Pada masa sama, Mamat turut memberikan jaminan betapa jalan cerita Hantu Kak Limah kali ini pastinya berbeza kendatipun hasil air tangan sutradara yang sama.

“Apa yang pasti ia bukanlah sambungan atau sekuel, jadi sesiapa yang terlepas untuk menyaksikan filem Hantu Kak Limah terdahulu tidak perlu risau sebenarnya.

“Jalan ceritanya juga jelas berbeza, jadi saya harap filem ini dapat segera disiapkan supaya peminat tidak tertunggu-tunggu lama untuk menyaksikannya di pawagam,” ceritanya lagi.

Ungkap Mamat, dia juga terharu dengan komitmen kesemua barisan kru dan pelakon yang berkampung di Taiping, Perak sepanjang sesi penggambaran sebelum ini.

“Saya cukup seronok dengan penggambaran kali ini kerana kesemua pelakon fokus dan berkampung di set penggambaran sehingga hari terakhir,” jelasnya.

Waima seakan-akan sengaja bermain dengan elemen satira sinikal dalam setiap sentuhannya ketika berkarya, tiada lain yang didambakan Mamat supaya nawaitunya untuk bercerita mengenai hakikat kehidupan sosial masyarakat secara humor dan santai berjaya difahami penonton.

“Sudah tentu tujuan utama membikin filem yang dapat mengujakan penonton. Cuma di sebalik filem yang dihasilkan, ia harus mengandungi unsur-unsur positif biarpun disampaikan secara sinikal.

“Meskipun filem Hantu Kak Limah masih menerapkan unsur satira seperti mana sebelum ini, saya sekadar mahu menghiburkan penonton,” jelasnya.

Ungkap Mamat, kewujudan sambungan kisah Hantu Kak Limah juga didorong oleh sambutan menggalakkan penonton terhadap naskhah-naskhah terdahulu.

“Saya sentiasa mahu mengenali selera penonton, selain mengumpul pelbagai pengalaman menarik bagi membongkar rahsia yang dikehendaki penyokong industri perfileman tempatan menerusi filem-filem yang dihasilkan selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, kehadiran wajah-wajah yang sinonim dengan filem tersebut seperti Kak Limah dan Husin (Datuk Awie) pastinya mengubati kerinduan peminat yang tertanya-tanya apa lagi insiden terbaharu yang terjadi di Kampung Pisang.

“Saya optimis dengan penceritaan baharu filem Hantu Kak Limah bagi memikat penonton hadir menyaksikannya di pawagam biarpun tidak ada kena mengena dengan filem-filem terdahulu,” ungkap Awie.

Nada yang sama juga disuarakan aktres terkenal, Erra Fazira kendatipun sekadar tampil dengan watak cameo dalam filem tersebut kali ini.

“Saya cukup teruja bekerjasama dengan Mamat buat kali pertama meskipun sekadar menjayakan satu babak. Dalam filem ini, saya perlu memastikan Husin meninggalkan kawasan pertapaan,” ujarnya.

Selain Erra, antara watak-watak baharu yang bakal menambah warna dan rencah dalam filem Hantu Kak Limah termasuklah Uqasha Senrose yang memegang watak seorang puteri bunian bernama Zaiton yang jatuh cinta terhadap Husin, selain seorang ejen insurans merangkap guru silat bernama Solihin yang dilakonkan dengan penuh berkesan oleh Zul Ariffin.

Versi terbaharu filem Hantu Kak Limah mengisahkan bagaimana Kak Limah akhirnya bertemu kebahagiaan sejati apabila jatuh cinta dengan seorang pemuda bernama Kudha (lakonan TJ Isa).

Pada suatu hari ketika Kudha pulang daripada memburu burung di hutan bersama Husin dan Wani (Sharwani NS), mereka akhirnya terkejut apabila terjumpa mayat Kak Limah di rumah lalu membawa mayat tersebut ke hospital.

Cuma yang menimbulkan persoalan, Kak Limah masih menyambut mereka dengan hidangan puding kentang di rumah sebaik mereka pulang dari hospital. Disebabkan itu, kesemua penduduk kampung percaya Kak Limah kini sudah menjadi hantu, tetapi tidak buat suaminya iaitu Khuda.

Pada masa sama, Husin juga sentiasa mencuri-curi masa untuk bertemu teman wanita baharunya si Zaiton yang jelita, namun hanya boleh bertemu di dalam hutan. Kehadiran Solihin yang giat membantu penduduk kampung mengusir hantu Kak Limah juga membuatkan Husin cemburu kerana penduduk kampung tidak lagi menganggapnya sebagai ketua ketika membuat sebarang keputusan. Apakah kisah sebenar yang berlaku di sebalik tragedi yang menimpa Kak Limah?

Filem berdurasi satu jam 40 minit yang telah menjalani penggambaran selama 22 hari di Taiping, Perak bermula 19 Oktober lepas itu bakal diklasifikasikan di bawah kategori P13. Seyogia ketika tayangan filem itu nanti, masih berbekas di hati penonton betapa “Wah, ini memang filem Mamat Khalid.”