Naskhah arahan pengarah tersohor Mamat Khalid itu sekaligus menjadi filem tempatan pertama mendapat kutipan tertinggi hanya dalam masa empat hari selepas ditayangkan.

Bukan itu sahaja, malah jumlah pawagam yang menayangkan filem lakonan Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie dan Mus May itu turut bertambah sehingga 137 buah panggung di seluruh Malaysia dan Brunei.

“Sambutan yang menggalakkan ini menjadikan saya sedar bahawa sebagai pengkarya, kita perlu membuat filem berdasarkan kehendak masyarakat, barulah penonton dapat menikmati naskhah tersebut.

“Filem ini juga sudah mendapat permintaan untuk ditayangkan di Singapura bermula 16 Ogos ini. Sepatutnya tarikh tayangan di negara itu lewat sedikit, namun mereka minta untuk ditayangkan lebih awal dari tarikh asal,” kata pengarah Mamat Khalid yang dihubungi Kosmo! Online hari ini. - K! ONLINE