Sementara menunggu, dia duduk sebentar berhampiran sebuah meja bersama kru yang terlibat untuk menjamu selera. Tidak semena-mena, salah seorang daripada kru produksi berkenaan meminta Fazura menoleh ke arah belakang.

Dari kejauhan, mata pelakon berusia 34 tahun itu tertancap pada sosok tubuh seorang wanita misteri yang berpakaian persis seperti apa yang digayakannya untuk karakter Mina pada dinihari tersebut - kebaya putih dan berkain sarung.

Cuma bezanya, keadaan rambut makhluk misteri yang dilihatnya itu terurai ke bahagian depan sehingga menutup keseluruhan wajah.

Pengalaman

“Jika ditanya tentang kewujudan makhluk halus atau hantu, saya boleh katakan bahawa saya percaya, pada masa sama, ada juga perasaan tidak percaya. Pendek kata, saya berada atas pagar.

“Namun, selepas melihat dengan dua bola mata sendiri ketika berada di lokasi penggambaran Dendam Pontianak, saya terus percaya dengan kewujudan mereka,” ujar Fazura ketika mengimbau kembali momen seram yang dilalui

Menurut isteri kepada Fattah Amin itu, sungguh pun melihat entiti ketika sedang melunaskan kerja-kerja penggambaran, perasaan yang terlintas pada waktu tersebut tidak pula terbawa-bawa apabila pulang ke rumah.

“Selepas kejadian tersebut, saya terus memberitahu suami. Dia dengan segera menenangkan dan meminta saya membaca ayat Qursi sebelum masuk ke rumah.

“Alhamdulillah, saya tidak menerima sebarang gangguan selepas melalui pengalaman tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dendam Pontianak yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Melanjutkan bicara mengenai Mina, Fazura mengakui tidak mengalami kesukaran untuk membawakan watak tersebut. Menurutnya, watak Mina yang juga puntianak merupakan satu watak yang kuat dan mampu memberi gambaran kepada penonton tentang kecekalan hati seorang perempuan.

“Sebenarnya, saya memang suka melakonkan watak-watak wanita yang kuat seperti dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia dan Pisau Cukur. Ketika pengarahnya, Glen Goei bertanya, adakah saya mahu menjayakan watak Mina atau isteri kepada Khalid lakonan Remy Ishak, saya memilih watak Mina.

“Sebenarnya, saya mahu menelusuri rasa hati Mina. Saya mahu tahu kenapa dia dibunuh dan kenapa dia kembali untuk membalas dendam. Mina merupakan seorang wanita yang sangat kuat,” ujar Fazura.

Beralih tentang kerjasama perdananya bersama Glen dan rakan pengarahan, Gavin Yap yang berasal dari Singapura, Fazura berbesar hati dapat bekerjasama dengan duo berbakat itu.

“Saya sangat mengagumi Glen kerana dia mahu bercerita tentang puntianak dengan cara yang berbeza.

“Jika sebelum ini watak puntianak diangkat dengan watak-watak sampingan lain, namun menerusi Dendam Pontianak, Glen memperhalusi karakter Mina untuk bercerita tentang keseluruhan watak yang ada,” ujar Fazura yang turut tidak melakukan sebarang rujukan demi menjayakan watak Mina.

Bagaimanapun, dari sisi berbeza, Remy yang menjayakan watak Khalid menyifatkan kerjasama pertama dengan Glen dan Gavin sebagai satu hal yang agak mengelirukan.

Selesa

Ujar Remy, ada beberapa cabaran terpaksa dilalui ketika minggu pertama penggambaran sebelum selesa dengan hala tuju dua orang pengarah itu.

“Glen dan Gavin berbangsa Cina, manakala Gavin berasal dari Singapura. Jadi, sudut pandang mereka tentang filem-filem seram Melayu juga berbeza.

“Agak keliru juga apabila saya diminta memberi visual sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Mungkin disebabkan saya memang berasal dari kampung, manakala mereka tidak pernah melalui suasana sedemikian,” katanya membuka bicara.

Menurut Remy, walaupun agak payah untuk menyesuaikan diri pada hari-hari pertama penggambaran, dia bagaimanapun dapat mengikut rentak seperti apa yang dimahukan Glen dan Gavin.

“Dari segi komunikasi, tidak menjadi masalah. Selepas memahami apa yang kedua-dua pengarah mahukan, perjalanan sesi penggambaran menjadi sangat mudah dan lancar,” katanya.

Berlatar era 1960-an, filem Dendam Pontianak boleh dikatakan mirip dengan naskhah 29 Februari yang pernah dijayakan lelaki berusia 37 tahun itu.

Namun, ada beberapa hal yang menurut Remy membezakan Dendam Pontianak dan filem-filem yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Cerita ini dibikin oleh penerbit dari Singapura. Salah seorang pengarahnya juga merupakan anak kelahiran republik itu. Jadi, mereka mempunyai impian yang luar biasa ketika menggarap Dendam Pontianak.

“Bayangkan, tempoh pemilihan selepas uji bakat mengambil masa selama dua tahun sebelum sesi penggambaran bermula. Jadi, dari situ, kita tahu mereka sangat teliti dalam hal-hal penerbitan,” katanya.

Selain Fazura, Remy turut bekerjasama dengan pelakon-pelakon gred A lain seperti Nam Ron, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su dan Nadia Aqilah.

Teruja

Melanjutkan bicara, Remy mengakui teruja apabila dapat berpadu dengan nama-nama besar.

“Ketika diberikan skrip, saya tidak tahu tentang rakan-rakan artis yang turut serta dalam filem ini. Saya terima watak Khalid kerana terpesona dengan skrip yang bagus.

“Justeru, apabila diberitahu tentang nama pelakon lain, saya bertambah teruja. Bekerja dengan mereka memang senang kerana pelakon-pelakon itu sudah tahu karakter yang dipegang,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Fazura, Remy terlebih dahulu meminta izin sebelum menyentuh wanita itu sewaktu di hadapan kamera.

“Sebelum saya bergelar pelakon, saya telah menyaksikan lakonan Fazura di televisyen.

“Jadi, saya hormatinya sebagai senior dan tetap meminta kebenaran untuk menyentuhnya,” kata Remy jujur.

Diterbitkan oleh Tiger Tiger Pictures dan diedarkan oleh Primeworks Studios, Dendam Pontianak bakal ditayangkan kepada umum bermula 12 September depan.

Disandingkan sebagai pasangan heroin dan hero dalam naskhah epik seram terbitan produksi dari Singapura, Fazura dan Remy berkongsi pengalaman pelik dan luar jangkaan sepanjang di lokasi.