Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 22, turut mengakui telah melakukan yang terbaik sepanjang penggambaran filem arahan Osman Ali bergenre seram romantik itu.

"Sejujurnya saya tidak sabar menantikan kemunculan filem tersebut dan mengharapkan penonton akan memberi reaksi positif. Pengarah, Osman Ali juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar ketika penggambaran.

"Saya telah memberikan yang terbaik dan biar penonton membuat penilaian terhadap hasil kerja filem tersebut," katanya yang ditemui pada majlis Pelancaran Huawei Nova Superstar di Lighbox di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, pelakon kelahiran Singapura itu turut berkongsi pengalaman hampir dipatuk 'ular hitam' ketika berasa di lokasi penggambaran.

Jelas Hannah, dia bernasib baik ular tesebut tidak mamatuknya atau mengalami sebarang kecederaan disebabkan insiden berkenaan.

"Sewaktu saya berada di lokasi ketika menunggu beberapa pelakon lain menjalani penggambaran babak aksi, saya yang hanya berkemban di tepi sungai secara tiba-tiba berasa seperti ada sesuatu bergerak di bahagian kaki.

"Saya kemudian berasa geli pada bahagian kaki dan mendapati seekor ular hitam. Saya kemudian melompat sebelum dibantu oleh beberapa kru produksi untuk menghalau ular tersebut," ujarnya.

Selain Hanmah, filem Langsuir terbitan Guam TeamWork Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Films itu turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Julia Farhana dan Firdaus Nadzaman. - K! ONLINE