Selepas Uqasha Senrose dan Sara Ali, peminat dikejutkan pula dengan keputusan Emma Maembong yang kembali tidak mengenakan hijab sekitar beberapa bulan lalu.

Terbaharu, nama Fathia Latiff menjadi sebutan selepas dia yang telah berhijrah sekitar tiga tahun lalu tampil ke sebuah acara pertunjukan fesyen dengan menggayakan potongan rambut pendek.

Isu-isu sebegini tidak hanya menjadi bualan ramai, malah membuatkan pengguna media sosial bertindak memberikan kritikan terbuka kepada artis-artis terbabit bahkan menjalar ke ruang peribadi selebriti berhijab yang lain.

Hanez Suraya merupakan antara artis bertudung yang turut menerima kecaman daripada netizen. Hanez yang ditemui pada majlis pelancaran produk pewarna bibir CakePop baru-baru ini berkata, namanya disenaraikan oleh netizen sebagai artis yang bakal membuka tudung dalam masa terdekat.

Kecewa dengan andaian tersebut, Hanez mampu berjanji tidak akan membuka tudung dan cuba mempertahankan pemakaian hijabnya sehingga bila-bila.

Menurut Hanez yang mula bertudung sekitar empat tahun lalu, banyak hati yang perlu dijaga lebih-lebih lagi dia kini sudah bergelar isteri sejak berkahwin dengan Romie Razin Adilha Abd. Rais sejak 2015.

Dalam pada itu, Hanez turut bercerita mengenai kandungannya yang kini sudah memasuki bulan ketujuh dan produk kosmetik pertamanya yang kini telah mula dipasarkan.

KOSMO!: Apa khabar Hanez, bagaimana dengan kandungan? Khabarnya, anda akan melahirkan anak kedua sekitar Julai depan?

HANEZ: Khabar baik. Benar, kandungan saya kini telah memasuki bulan yang ketujuh. Menurut doktor, saya akan melahirkan bayi perempuan awal Julai depan.

Apakah perbezaan hamil anak pertama dengan yang kedua?

Sewaktu mengandungkan Putri Aleesya, 4, saya sangat pasif. Ketika itu, saya jarang keluar dan kerap duduk di rumah. Namun, lain pula dengan kehamilan kali ini. Saya terlalu obses dengan budaya dan industri hiburan Korea.

Seperti wanita hamil lain yang mengidam pelbagai jenis makanan, saya mengidam untuk menonton drama dan mendengar muzik Korea. Mungkin disebabkan hal tersebut, saya mendapat ilham untuk memasarkan produk kosmetik sendiri, iaitu pewarna bibir, CakePop.

Jadi, adakah produk ini terinspirasi daripada solekan dunia K-Pop?

Tidak dinafikan, pelakon-pelakon Korea mempunyai kulit yang cantik. Mereka juga mempunyai bibir yang sangat mulus. Jadi, saya cuba untuk hasilkan produk pewarna bibir yang lebih ringan berbanding gincu dan selamat untuk setiap peringkat umur.

Hanez, ramai artis mula membuka tudung sejak akhir-akhir ini. Apakah reaksi anda terhadap isu berkenaan?

Saya tidak mahu memberikan komen kerana kita sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Apa yang pasti, kita doakan agar kembali mengenakan tudung. Namun, saya berasa hairan dengan segelintir netizen. Setiap kali ada artis buka tudung, pasti nama saya akan diandaikan sebagai artis seterusnya yang akan berbuat demikian.

Apakah perasaan andai apabila sering dikatakan bakal membuka tudung?

Sejujurnya, dalam keadaan sekarang, banyak hati yang perlu saya jaga. Saya sudah berkahwin dan perlu memelihara air muka suami.

Selain itu, saya perlu menghormati keluarga saya dan keluarga mertua. Saya sendiri berasa kurang selesa sebenarnya sewaktu masih tidak bertudung dahulu. Jadi, saya cuba pertahankan hijab yang saya pakai dengan kerelaan hati.

Sudah lama anda tidak muncul menerusi televisyen. Adakah anda ada merancang untuk kembali aktif seperti dahulu?

Perasaan mahu berlakon itu ada. Cuma, saya perlu meminta kebenaran daripada suami. Saya tidak boleh berjanji kerana segala keputusan datang daripadanya.